Sindiket botolkan semula minyak masak peket bersubsidi tumpas

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya merampas 5,100 peket minyak masak bersubsidi bersaiz satu kilogram (kg) dalam serbuan di sebuah kediaman di Taman Bukit Mewah di sini, pada Rabu.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan pada jam 2 petang itu dilakukan hasil risikan yang dijalankan pihaknya selama tiga minggu.
Menurut beliau, sebanyak 137 botol minyak masak yang sudah dibungkus semula turut dirampas membabitkan anggaran keseluruhan yang dirampas bernilai lebih RM131,000.
"Modus operasi sindiket adalah memasukkan minyak masak peket bersubsidi di dalam botol lima kilogram dan kemudiannya ditampal dengan label untuk kegunaan sembahyang.
"Botol minyak masak yang siap dibungkus dan dilabelkan ini kemudiannya akan dibawa untuk edaran di sekitar kawasan restoran dan kedai kedai runcit di sekitar bandar raya ini," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

Menurut beliau, bekalan minyak masak peket terbabit diambil dari pemborang di Selangor dan Melaka.
Jelasnya, sindiket mengambil keuntungan berlipat kali ganda daripada minyak masak peket bersubsidi yang dibotolkan semula itu.
"Harga sepeket minyak masak satu kilogram adalah RM2.50 dan sebanyak lima peket dimasukkan ke dalam botol lima kilogram yang kemudian dijual pada harga RM22.70
"Kita dapati kegiatan ini tidak mempunyai kebenaran atau kelulusan dari segi lesen dan sebagainya," ujarnya.
Menurut beliau, seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya lelaki terbabit dipercayai berperanan sebagai pembungkus semula minyak dan penjual memperoleh keuntungan RM11 bagi satu botol minyak masak yang siap dibungkus semula.
"Siasatan lanjut akan dibuat mengikut Peraturan 31 Perintah Kawalan Bekalan 1974.
"Bagi tahun 2025, ini merupakan rampasan terbesar dibuat KPDN Johor," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

