World #QuranHour: Tajwid tepat, lantunan merdu tarik masyarakat hayati al-Quran

Bacaan al-Quran dengan penggunaan tajwid tepat serta lantunan suara yang baik penting bagi memperdengarkan keindahan bacaan al-Quran. Gambar kecil: Mohd Shukri (kiri), Sheikh Muhammad Asfandyar Dilawar
Bacaan al-Quran dengan penggunaan tajwid tepat serta lantunan suara yang baik penting bagi memperdengarkan keindahan bacaan al-Quran. Gambar kecil: Mohd Shukri (kiri), Sheikh Muhammad Asfandyar Dilawar
A
A
A

GOMBAK - Bacaan al-Quran dengan penggunaan tajwid yang tepat serta lantunan suara yang merdu amat penting dalam memperdengarkan keindahan kitab suci Islam.

Menurut Imam dan guru al-Quran, Mohd Shukri Ali, bacaan yang baik bukan sahaja menyerlahkan keindahan al-Quran tetapi juga menarik minat masyarakat untuk lebih mendekatinya.

"Al-Quran ini indah apabila dibaca mengikut kaedah yang betul seperti yang dikehendaki ALLAH, antaranya menjaga tajwid dan menggunakan suara yang baik.

"Apabila ayat-ayat suci al-Quran dibaca dengan baik oleh qari, ia akan kedengaran lebih indah dan mampu menarik perhatian orang ramai untuk mendengarnya," katanya kepada Sinar Harian selepas program World #QuranHour 2025 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pada Selasa.

Mohd Shukri berkata, peluang menyertai program World #QuranHour sebagai qari buat kali pertama sangat dihargai dan berharap inisiatif seperti ini diteruskan pada masa akan datang.

"Saya rasa terharu kerana dijemput sebagai qari. Program ini perlu diperluaskan dan diteruskan secara konsisten supaya masyarakat sentiasa dekat dengan al-Quran, bukan hanya pada bulan Ramadan sahaja.

“Mungkin bulan Ramadan boleh menjadi perintis, tetapi perlu ada modul khusus untuk menggalakkan orang ramai lebih berminat membaca dan memahami al-Quran. Apabila seseorang itu memahami apa yang dibaca, barulah dia dapat mengaplikasikan dalam kehidupan seharian," katanya.

Tambahnya, tadabbur al-Quran sangat penting bagi memastikan isi kandungan kitab suci itu benar-benar dihayati dan diamalkan.

"Dengan memahami maksud ayat-ayat al-Quran, kita dapat menghayati dan mengamalkan ajarannya setiap hari," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pensyarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Pra-Universiti UIAM, Sheikh Muhammad Asfandyar Dilawar berkata, pengalaman sebagai qari dalam program ini sangat bermakna apabila melihat sambutan semakin menggalakkan setiap tahun.

"Program ini bukan sahaja meraikan al-Quran tetapi juga menyemai rasa cinta kepada kitab suci dalam kalangan masyarakat, sekali gus menghubungkan mereka dengan kalam ALLAH.

"Surah Al-Saff yang dibacakan hari ini sarat dengan mesej bagi orang beriman, termasuk jaminan keampunan dan ganjaran syurga bagi mereka yang mendekatkan diri kepada ALLAH," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!