PBB luah kebimbangan terhadap pertempuran berterusan di Sudan

NEW YORK - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melahirkan kebimbangan terhadap pertempuran berterusan di seluruh Sudan antara tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF), serta memberi amaran mengenai kesan buruknya terhadap orang awam dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di negara itu, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric pada sidang media menekankan peningkatan serangan di kawasan berpenduduk di ibu negara, Khartoum dan bandar Omdurman.
"Kami sekali lagi mengingatkan semua pihak tentang kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk melindungi orang awam dan infrastruktur awam dan mengambil semua langkah yang munasabah untuk mengelakkan kemudaratan terhadap mereka," kata Dujarric.
Beliau berkata pertempuran yang berterusan, memburukkan lagi keadaan selepas pemotongan dana oleh penderma utama, mengganggu perkhidmatan kesihatan di Sudan, terutamanya di wilayah Darfur.
Dujarric menegaskan kira-kira 58,000 orang di Kordofan Utara memerlukan bantuan kemanusiaan segera.
Beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan sokongan terhadap tindak balas kemanusiaan di Sudan, termasuk peningkatan pembiayaan, memastikan perlindungan terhadap orang awam dan pekerja bantuan, serta menjamin akses selamat kepada mereka yang memerlukan bantuan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!