World #QuranHour 2025 satukan umat Islam, pejuang hak Palestin

GOMBAK - Program World #QuranHour 2025 yang mengangkat Surah al-Saff diharapkan dapat mewujudkan kesatuan dan perpaduan dalam kalangan umat Islam di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, surah tersebut boleh menjadi panduan kukuh kepada pemimpin, ulama dan umat Islam, terutama dalam bulan Ramadan.
"Selain itu, kita juga perlu bersyukur kepada ALLAH SWT. Sebagai tanda kesyukuran, kita harus melihat kembali tanggungjawab diri, kepimpinan dan umat Islam dalam membina kesatuan serta perpaduan berlandaskan al-Quran.
"Hasrat utama World #QuranHour 2025 adalah untuk membawa kita kembali kepada al-Quran dan menjadikan surah ini sebagai panduan yang kukuh," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri World #QuranHour 2025 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Selasa.
Majlis tahunan itu kali ini membawa misi besar berpandukan Surah al-Saff dengan tema #SavingTheUmmah.
Program tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi beberapa saluran televisyen utama seperti Oasis dan Bernama TV, manakala TV Alhijrah akan menyiarkannya pada 4 April.
Menurut Dr Mohd Na’im, tema Surah al-Saff juga mencerminkan solidariti umat Islam di negara ini terhadap keadaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
"Surah ini menerapkan nilai kesatuan dalam kalangan umat Islam supaya mereka tidak berpecah, sebaliknya bersatu padu mempertahankan saudara seagama yang ditindas oleh rejim Israel.
"Ayat dalam surah ini mengungkapkan konsep penting, iaitu 'satu binaan yang kukuh' dalam mempertahankan serta memperjuangkan hak rakyat Palestin.
"Kita, umat Islam di seluruh dunia, perlu menunjukkan kesatuan dan perpaduan. Kita mesti bersatu dan menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada rakyat Palestin," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

