Air mata Ramadan 136 saudara baharu terubat

Majlis berbuka puasa beri peluang mereka merasai kemeriahan Ramadan dalam suasana kekeluargaan

Mualaf yang duduk dan berbuka puasa bersama-sama di Macma Kelantan. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Mualaf yang duduk dan berbuka puasa bersama-sama di Macma Kelantan. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Ramadan dan Aidilfitri sering menjadi ujian emosi buat saudara baharu apabila ada dalam kalangan mereka disisihkan oleh keluarga selepas memeluk Islam.

Bagi mengurangkan rasa kesunyian itu, Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Kelantan menganjurkan majlis berbuka puasa khas bagi mualaf setiap tahun, termasuk tahun ini yang menyaksikan penyertaan seramai 136 mualaf.

Pengerusi Macma Kelantan, Dr Johari Yap Abdullah berkata, angka itu meningkat berbanding kurang 100 pada tahun lalu, membuktikan semakin ramai saudara baharu yang mahu merasai kemeriahan Ramadan dalam suasana kekeluargaan.

Dr Johari
FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Dr Johari FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

“Bagi mereka yang tidak lagi diterima keluarga asal, majlis sebegini memberi peluang untuk mereka merasai kebersamaan dengan saudara seagama.

“Mereka bukan sahaja dapat berbuka puasa bersama tetapi juga saling mengenali dan menyokong antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Berbuka Puasa Macma Kelantan di Taman Maju di sini pada Isnin.

Menurutnya, selain majlis itu, Macma turut menganjurkan pelbagai program bagi membantu saudara baharu lebih memahami Islam dan membina kehidupan baharu.

“Kami adakan sesi tafsir al-Quran setiap pagi Khamis bagi memberi pendedahan lebih mendalam mengenai ajaran Islam.

Artikel Berkaitan:

“Di samping itu, kita juga membantu mereka dari sudut ekonomi dengan menyediakan kertas kerja bagi memohon modal serta bimbingan perniagaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Macma turut meraikan budaya asal saudara baharu dengan menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina bagi menunjukkan bahawa mereka tidak kehilangan identiti sebagai orang Cina selepas memeluk Islam.

“Kita mahu mereka faham bahawa menjadi Muslim tidak bermakna mereka perlu melupakan asal-usul mereka.

“Mereka masih boleh mengekalkan budaya selagi tidak bercanggah dengan Islam,” ujarnya.

Pada majlis berbuka puasa itu, sebanyak RM13,600 zakat turut diagihkan kepada saudara baharu, selain bantuan bakul makanan yang diberikan setiap minggu sepanjang Ramadan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!