Air mata Bella Astillah tumpah lagi

PENYANYI dan pelakon, Bella Astillah mendedahkan air matanya sekali lagi tumpah ketika berada di depan Kaabah.
Bagaimanapun berbeza dengan tahun lalu, kali ini tangisan itu kerana tanda bersyukur atas segala rezeki dikurniakan oleh ALLAH SWT.
"Tahun lepas saya datang dengan tangisan kesedihan sehingga sakit dada ketika mengadu pada-NYA.
"Kali ini juga menangis di depan Kaabah tetapi kerana rasa syukur dan ingin berterima kasih kepada ALLAH SWT kerana telah memberikan apa yang saya doa waktu kali terakhir saya datang.
"Alhamdulillah, betapa ALLAH Maha Baik kepada hamba-NYA," kongsi Bella menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Bella kini berada di Makkah bersama adiknya, Didi Astillah atas undangan Arab Saudi bagi kerjasama dan mengerjakan umrah.
Dalam perkongsian sama, Bella turut berterima kasih kepada mereka di luar sana yang tidak putus memberikan sokongan luar biasa buatnya.
"Saya turut mendoakan semua yang mengenali saya ataupun tidak. Kebelakangan ini, saya terima banyak sangat kasih sayang dan sokongan yang luar biasa dari semua.
"Tidak pernah saya fikir dalam sejuta tahun bahawa saya akan terima kasih sayang dan sokongan yang begitu besar, Alhamdulillah. Terima kasih semua," luahnya.
Bella juga tidak lupa memberikan kata-kata semangat buat mereka yang mungkin berdepan ujian sepertinya dan meminta mereka berdamai dengan takdir.
"Dan kepada yang sedang bersedih, mulai untuk belajar menerima apa jua keadaan dengan hati yang lapang, kerana ini yang kita panggil berdamai dengan takdir.
"Sama ada kita nak terima ataupun tolak, semuanya akan tetap berlaku. Ingat bahawa takdir tidak pernah bertanya tentang bagaimana penerimaan kita, perasaan kita, sama ada kita suka, tidak suka atau bahagia.
"Takdir juga tidak ambil tahu tentang proses 'healing' kita, tapi disitulah letaknya kekuatan. Ketika kita cuba jadi lebih kuat, lebih tenang dan lebih bersedia menghadapi apapun yang datang," katanya positif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!