Sekolah bertingkat tinggi perlu dilengkapi padang - NUTP

NUTP berharap kerajaan kekal menyediakan kemudahan padang di sekolah bertingkat tinggi yang dicadang dibangunkan bagi menangani isu kepadatan sekolah. (Gambar kecil: Aminuddin Awang)
NUTP berharap kerajaan kekal menyediakan kemudahan padang di sekolah bertingkat tinggi yang dicadang dibangunkan bagi menangani isu kepadatan sekolah. (Gambar kecil: Aminuddin Awang)
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berharap kerajaan kekal menyediakan kemudahan padang di sekolah bertingkat tinggi yang dicadang dibangunkan bagi menangani isu kepadatan sekolah.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, model sekolah bertingkat tinggi yang mahu dibangunkan itu perlu dilengkapi kemudahan padang sebagaimana model sekolah sedia ada bagi membolehkan murid dan pelajar melakukan aktiviti sukan serta kokurikulum.

“Kita harap di sekolah bertingkat tinggi ini akan ada kemudahan padang walaupun mungkin bukan padang asli untuk beri ruang kepada murid dan pelajar beriadah serta bersukan.

“Maksudnya elemen-elemen yang ada pada sekolah yang bertanah atau landed perlu dikekalkan dalam projek pembinaan bangunan sekolah bertingkat ini,” katanya kepada Sinar Harian.

KPM pada Khamis mengumumkan projek rintis sekolah bertingkat akan dilaksanakan di Putrajaya, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur mulai tahun ini.

KPM dalam satu kenyataan berkata, inisiatif dengan kerjasama rakan strategik korporat itu akan dilaksanakan bagi menangani isu kepadatan sekolah terutama di kawasan berkepadatan tinggi.

Mengulas lanjut, Aminuddin percaya kerajaan sudah mempertimbangkan semua ciri keselamatan sekolah bertingat tinggi tersebut apabila memutuskan untuk memulakan pelaksanaan projek rintis berkenaan.

Katanya, ciri keselamatan tersebut pastinya mengambil kira risiko murid atau pelajar jatuh dari aras yang tinggi.

“Saya cukup yakin kerajaan sudah ambil kira semua aspek keselamatan maksudnya akan datang mungkin bangunan sekolah bertingkat tinggi ini tidak dibuat koridor yang terbuka.

Artikel Berkaitan:

“Usahkan pembinaan sekolah, kalau kita pergi ke bangunan tinggi lain pun kita lihat pembinaannya ambil kira semua aspek keselamatan termasuk bagaimana cara penghuni keluar dari bangunan tinggi kalau terjadi kebakaran,” tambah beliau.

Dari segi penggunaan lif pula, Aminuddin optimis ia tidak akan mendatangkan masalah kerana pastinya bakal memenuhi kapasiti murid dan pelajar untuk turun naik.

“Kalau kita tengok sekolah-sekolah yang dah ada lif memang kemudahan ini memenuhi kapasiti murid dan pelajar untuk turun naik.

"Saya berkeyakinan murid dan pelajar akan mudah menerima atau terbiasa dengan penggunaan lif ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!