'Kalau kita tunduk pada kesalahan, apa beza kita dengan penjenayah'

Mustapha
Mustapha
A
A
A

JOHOR BAHRU - “Sebagai anggota polis, kita perlu utamakan integriti bukan sekadar pakai uniform dan jalankan tugas.”

Itu tegas pesara polis, Sarjan Detektif Mustapha Mohd Zamri, 58, yang menekankan bahawa integriti merupakan tunjang utama dalam profesion kepolisan selain turut menjadi pegangan Allahyarham bapanya, Korporal Mohd Zamri Baki, anak saudaranya, Lans Korporal Ismail Aqil Ismail dan dirinya sendiri.

Beliau yang telah berkhidmat selama 33 tahun dengan PDRM berkata, integriti juga merupakan elemen penting kerana ia mampu mengangkat dan juga meruntuhkan imej polis.

Justeru katanya, kesemua anggota polis tanpa mengira pangkat perlu kekal fokus dengan mengekalkan sifat integriti pada tahap tertinggi.

“Arwah bapa saya pernah berpesan, integriti ini merupakan amanah atau tanggungjawab yang besar.

“Tanpa integriti bermakna kita telah mengabaikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada kita apatah lagi bagi anggota pasukan keselamatan seperti polis.

“Kalau polis sendiri langgar yang undang-undang, macam mana nak harapkan orang ramai hormat kita? Sebab itulah sepanjang 33 tahun saya bertugas, saya pegang satu prinsip – jangan cemarkan amanah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mustapha ketika mula-mula bertugas.
Mustapha ketika mula-mula bertugas.

Artikel Berkaitan:

Mustapha yang memulakan kerjayanya pada 15 Julai 1990, telah berkhidmat di beberapa lokasi seperti Balai Polis Sentral Johor Bahru, Balai Polis Larkin, dan akhirnya bersara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada tahun 2022.

Selain arwah bapanya, Mustapha turut mengharapkan agar anak saudaranya yang kini berkhidmat di IPK, Selangor akan terus mengamalkan sifat berintegriti tinggi.

Mengulas mengenai cabaran dalam dunia kepolisan hari ini, Mustapha berkata, cabaran yang dihadapi adalah cukup jauh berbeza terutamanya bagi kes-kes yang melibatkan pengaruh politik termasuk kes-kes jenayah yang berprofil tinggi.

“Sebelum ini, jenayah lebih kepada rompakan, penyeludupan, dan jenayah jalanan, tapi sekarang dah ada jenayah siber, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan macam-macam lagi.

“Kalau polis tidak kuat pegangan, mudah goyah dengan godaan wang atau kuasa akan mudah terjerumus.

“Sebab itulah, saya selalu berpesan pada rakan sekerja dan anak-anak, kalau kita yang sepatutnya kuat pun tunduk pada kesalahan, apa beza kita dengan penjenayah?” katanya.

Dalam pada itu, Mustapha juga mendedahkan walaupun dirinya berbangga bertugas sebagai seorang polis, namun dia tidak menggalakkan anak-anaknya menyertai perkhidmatan ini.

“Saya ada empat anak lelaki, tetapi saya tak dorong mereka masuk polis. Sebabnya, bukan semua orang mampu hadapi disiplin ketat dan cabaran dalam pasukan.

“Nak jadi polis perlu berdisiplin sejak awal, dan jika seseorang itu tidak dibesarkan dalam persekitaran yang mengutamakan disiplin, susah untuk mereka menyesuaikan diri.

“Saya tak mahu mereka masuk polis semata-mata untuk gaji, tetapi akhirnya tak mampu bawa amanah dengan baik. Kalau masuk hanya untuk kepentingan sendiri, lebih baik jangan,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!