World #QuranHour Kelantan berlangsung di Madinah Ramadan esok

World #QuranHour tarik ramai penyertaan saban tahun. Gambar kecil: Azi Rahimee dan Surena
World #QuranHour tarik ramai penyertaan saban tahun. Gambar kecil: Azi Rahimee dan Surena
A
A
A

KOTA BHARU - Program World #QuranHour 2025 peringkat negeri Kelantan di Madinah Ramadan akan berlangsung esok di Stadium Sultan Muhammad IV di sini dengan penyertaan dijangka lebih 30,000 peserta dari seluruh negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Azi Rahimee Mohamed berkata, program anjuran Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) dengan kerjasama MPKB-BRI itu memberi tumpuan kepada kefahaman surah As-Saff yang menekankan penyatuan ummah dalam menegakkan syiar Islam.

Menurutnya, World #QuranHour yang akan bermula jam 11 pagi hingga 2 petang itu diadakan bersempena 10 malam terakhir Ramadan bagi mengajak masyarakat merebut keberkatan bulan mulia.

Lokasi utama World #QuranHour 2025 peringkat negeri Kelantan di Madinah Ramadan, Kota Bharu.
Lokasi utama World #QuranHour 2025 peringkat negeri Kelantan di Madinah Ramadan, Kota Bharu.

“Orang ramai dijemput hadir ke lokasi utama di Madinah Ramadan untuk bersama-sama membaca dan mentadabbur al-Quran, khususnya surah As-Saff yang menjadi fokus utama program ini.

“Selain itu, lebih 50 lokasi lain termasuk sekolah, masjid dan pusat Rumah Ngaji turut mengambil bahagian secara dalam talian,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Azi Rahimee berkata, lebih 1,000 peserta akan hadir secara fizikal di Madinah Ramadan, manakala selebihnya di hotspot terpilih dan secara maya.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran masyarakat untuk menyemarakkan lagi acara yang bakal dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan surah Al-Baqarah (ayat 1-5) sebelum bacaan beramai-ramai surah As-Saff.

“Program ini turut merangkumi sesi tadabbur surah As-Saff dan sinopsis al-Quran #SAVINGTHEUMMAH yang akan disampaikan oleh Profesor Madya Dr Azhar Muhammad.

Artikel Berkaitan:

“Program akan diakhiri dengan bacaan ikrar al-Quran serta penyampaian cenderahati kepada peserta dan pihak yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah World #QuranHour 2025 negeri Kelantan, Surena Mohd Noor berkata, pihak penganjur menyediakan 12 bas bagi memudahkan penyertaan pengusaha Rumah Ngaji dan pelajar sekolah ke lokasi utama.

Menurutnya, lebih 37,000 pelajar dari sekolah aliran perdana dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) akan menyertai program itu di sekolah masing-masing.

“Di Madinah Ramadan sendiri, kita akan melihat penyertaan pelbagai agensi, institusi serta orang awam yang ingin mengambil kesempatan merebut pahala Ramadan dengan membaca dan mentadabbur al-Quran,” katanya.

Majlis akan dirasmikan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah.

Menurut Surena, penganjur turut menyediakan lebih 2,000 cenderamata kepada peserta sebagai tanda penghargaan.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penaja utama seperti Econsave, Mydin, Adabi dan Tudung Harameen BCF yang banyak membantu menjayakan program ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan penyertaan secara berkumpulan dan sesiapa yang berminat boleh mendaftar melalui pihak penganjur di 019-939 0693 (Surena).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!