'Sumbangan di bumi ALLAH SWT'

KOTA BAHRU - Program World #QuranHour 2025 pada 25 Mac ini merupakan inisiatif yang akan memberikan kesan besar terhadap masyarakat, supaya lebih dekat dengan al-Quran.
Penolong Kanan Pentadbiran Maahad Muhammadi Perempuan, Nik Emran Nik Mustpha berkata, penganjuran program dalam bulan Ramadan juga meningkatkan keberkatan terhadap golongan yang mengalunkan setiap kalam ALLAH SWT ini.
Justeru katanya, warga Maahad Muhammadi Perempuan memberikan sokongan penuh kepada program tersebut.
“Program ini bukan sahaja mengajak umat Islam membaca al-Quran tetapi mengamalkan akhlak seperti yang dianjurkan di dalamnya,” katanya ketika ditemui pada Kempen Program World #QuranHour 2025 di sini pada Ahad.
Beliau berkata, bagi memeriahkan program berkenaan, pelajar dan guru turut digalakkan menyertai bacaan dan tadabur, walaupun berada jauh dari lokasi perdana program.
“Penyertaan ini sebagai satu sumbangan kita di bumi ALLAH SWT supaya kita akan sentiasa dengan al-Quran,” katanya.
Menerusi kempen berkenaan semua warga sekolah itu, memulakan program dengan mengalunkan asma ul-husna sebelum membaca dan bertadabur surah Surah Ibrahim ayat 42.
Mereka kemudian mengadakan perasmian kutipan derma untuk Palestin dan membaca doa untuk kesejahteraan negara itu yang kini diancam peperangan.
Sementara itu, Pengarah Program World #QuranHour 2025, Surena Mohd Noor berkata, program berkenaan melibatkan semua umat Islam di seluruh negara.
Katanya, orang ramai boleh bersama-bersama membaca dan bertadabur surah terpilih dengan menghayati setiap peristiwa dan pengajaran yang tercatat dalam al-Quran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
