Kelebihan dan tanda-tanda lailatulqadar, usah terlepas malam istimewa ini

MEMASUKI 10 hari Ramadan terakhir, ramai mula memburu lailatulqadar untuk meraih lebih banyak ganjaran.
Tiada siapa yang mengetahui bilakah tarikh sebenar malam agung berkenaan. Hanya ALLAH SWT sahajalah yang MAHA MENGETAHUI.
Bukan apa, jika ‘bocor’ waktunya, sudah tentu ramai berpusu-pusu akan ke masjid atau surau untuk beribadah pada malam tersebut dan mengabaikannya pada hari-hari yang lain pula.
Apa sebenarnya lailatulqadar itu dan apa kelebihannya?
Menerusi video yang dikongsikan oleh Jabatan Agama Islam Selangor di laman sosial Facebook miliknya pada Ahad, terdapat tiga keistimewaan pada malam al-Qadar itu.
Berikut butirannya:
1. Dikatakan lebih baik daripada 1,000 bulan.

Imam Al-Qurtubi berkata: “Malam al-Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada 1,000 bulan. Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat, amalan dilakukan pada malam al-Qadar lebih baik daripada 1,000 bulan yang tiada padanya malam al-Qadar.”
2. Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut.
Imam Al-Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratulmuntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.”
Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan.
3. Mendapat keselamatan dan kebaikan tanpa sebarang kejahatan hingga keluarnya fajar.
Ad-Dahhaq berkata: “ALLAH tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan.”
Sementara itu, Mujahid dalam Tafsir Al-Qurtubi berkata: “Ia merupakan malam selamat yang mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.”

Meskipun tiada siapa yang tahu bilakah malam istimewa itu akan menemui kita, tetapi banyak tanda-tanda yang telah dijelaskan oleh para ulama.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, sebahagian tanda dan alamat itu mungkin dapat dilihat oleh sebilangan hamba ALLAH yang diizinkan-NYA pada setiap tahun.
Banyak hadis dan perkhabaran orang soleh dan riwayat yang membincangkan petanda tersebut. Antaranya seperti:
1. Ubadah bin As-Somit RA berkata secara marfu’: “Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-oleh bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut.”

2. Ubay bin Kaab RA menyatakan Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.”
3. Mengikut riwayat daripada ucapan Ibnu Mas’ud: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam al-Qadar.”
Bagi sesiapa yang mengetahui bahawa malam itu ialah lailatulqadar, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, sunat untuk mereka menyembunyikannya sebagaimana pandangan jumhur ulama tentang prkara itu.
“Antara hikmah disembunyikan lailatulqadar menurut Ibnu Hajar dalam kitab Al-Hawi adalah kerana ia dibimbangi akan dibuang nikmat dan berlaku riak.
"Dari segi adab, janganlah menceritakan nikmat ALLAH iaitu pertemuan lailatulqadar untuk diuar-uarkan kepada manusia kepada dibimbangi berlaku hasad dengki,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Bayan Linnas Siri ke-31: Lailatulqadar...Carilah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!