Sudah sampai masa wujudkan akta khas kawal selia pembinaan rumah ibadat bukan Islam - Peguam

Kedudukan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak berhampiran Jakel Mall berhampiran Jalan Masjid India.
Kedudukan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak berhampiran Jakel Mall berhampiran Jalan Masjid India.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) khas bagi mengawal kelulusan dan memantau pembinaan serta tadbir urus rumah ibadat bukan Islam di negara ini.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, tindakan itu perlu berikutan polemik isu kuil Hindu Dewi Sri Pathra Kaliamman yang didakwa dibina secara haram di atas tanah wakaf milik syarikat tekstil, Jakel Trading Sdn. Bhd. (Jakel) di ibu negara.

Malah, beliau mendakwa ketika ini terdapat ribuan rumah ibadat bukan Islam yang dibina secara haram, sama ada di atas tanah persendirian, tanah milik kerajaan negeri, mahupun Kerajaan Persekutuan di seluruh negara.

“Justeru, bagi mengelak masalah ini terus berbangkit, saya percaya sudah tiba masanya untuk kerajaan Pusat merangka satu RUU bagi meregularisasi, mengawal, dan mengatur kewujudan serta pembinaan rumah ibadat penganut agama bukan Islam di Malaysia.

“Ini kerana kawalan dan proses pembinaan masjid atau surau adalah tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri seperti yang ditetapkan di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi hantaran video yang dimuat naik di media sosial pada Ahad.

Haniff Khatri menambah, kerajaan perlu mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan bagi merangka draf RUU berkenaan sebelum dibentangkan, dibahas, dan diluluskan oleh Dewan Rakyat secepat mungkin.

Katanya, penggubalan akta berkenaan penting bagi mengelakkan isu pembinaan rumah ibadat bukan Islam terus timbul dan menjadi perdebatan hangat pada masa depan.

“Ketika ini, terdapat satu enakmen yang diguna pakai di Pulau Pinang sejak 1906, iaitu Hindu Endowment Enactment, yang memberi kuasa kepada majlis tertentu untuk mengatur dan mengawal pembinaan kuil Hindu di negeri terbabit.

“Kewujudan enakmen berkenaan banyak membantu kerajaan negeri mengurangkan isu pembinaan kuil Hindu secara haram, sama ada di atas tanah persendirian mahupun tanah kerajaan di Pulau Pinang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Haniff Khatri juga yakin bahawa undang-undang seumpama itu perlu diwujudkan di seluruh negara.

“Kewujudan akta berkenaan membolehkan Kerajaan Persekutuan mengawal permohonan, pelesenan, pembangunan, dan pemberian hak milik tanah secara sah untuk pembinaan rumah ibadat bukan Islam di Malaysia pada masa depan.

“Penggubalan akta baharu itu juga membolehkan Kerajaan Persekutuan mengenal pasti dan menyalurkan bantuan kepada rumah ibadat bukan Islam yang dibina di atas tapak yang sah,” katanya.

Pada masa sama, beliau mencadangkan supaya Jakel memfailkan kes ke mahkamah bagi mendesak pihak pengurusan kuil berkenaan mengosongkan tanah wakaf terbabit seperti yang sepatutnya.

Beliau juga menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam Dr. Shamsher Singh Thind yang mengingatkan bahawa kebebasan beragama tidak mengizinkan mana-mana pihak untuk menceroboh tanah orang lain.

“Menurut Shamsher, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa kebebasan beragama tidak mengatasi Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, iaitu berkenaan hak terhadap harta,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!