Elak sentimen perkauman, fokus keharmonian - Ramanan

KOTA DAMANSARA – Semua pihak perlu berhenti memainkan sentimen perkauman dan keagamaan bagi mengelakkan tercetusnya masalah lebih besar dalam masyarakat.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri R Ramanan berkata, sentimen berlebihan hanya akan menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
"Seperti hari ini, saya berada di masjid. Jadi, tidak perlu kita memainkan isu agama atau perkauman kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan perpecahan.
"Tetapi ada segelintir pihak suka menunggang isu agama dan kaum. Benda kecil diperbesarkan. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mencetuskan kebencian dan perpecahan antara kaum di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak berhampiran Jakel Mall, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur yang kini hangat diperkatakan di media sosial.
Terdahulu, Ramanan menyerahkan sumbangan daripada Bank Rakyat berjumlah RM190,000 kepada 16 masjid dan 300 asnaf terpilih di sekitar Parlimen Sungai Buloh Selangor, pada Sabtu.
Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, Noor Afifah Abdul Razak.
Setiap masjid akan menerima sumbangan RM10,000 bagi menganjurkan program pengimarahan sepanjang bulan Ramadan dan Syawal manakala asnaf RM100 seorang.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, semua pihak tidak perlu membuat sebarang ulasan sama ada secara terbuka atau menerusi media sosial mengenai status pembinaan masjid atau rumah ibadat lain seperti kuil, gereja atau tokong kerana perbuatan tersebut boleh mencetuskan rasa tidak puas hati antara satu sama lain.
"Jangan main dengan isu perkauman atau isu agama kerana ia boleh menyebabkan wujud ketegangan antara kaum dan penganut agama lain.
"Saya juga berpandangan tiada keperluan untuk mewujudkan akta baharu bagi menangani isu pembinaan masjid atau rumah ibadat lain secara haram di atas tanah orang lain," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut yakin bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning tidak akan menyaksikan isu pembinaan kuil dibangkitkan kerana ia tidak memberi manfaat kepada calon Pas mahupun Barisan Nasional (BN).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
