Umat Islam perlu kembali kepada fitrah

SHAH ALAM – Umat Islam khususnya di Malaysia mampu kembali ke era kegemilangan tamadun jika mereka benar-benar memahami prinsip asas ajaran Islam, terutama dalam aspek ilmu, akhlak dan iman.
Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Pengantarabangsaan), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Muhamad Hasrul Zakariah menegaskan bahawa pemisahan ilmu yang berlaku dalam masyarakat pada masa kini menyebabkan kekeliruan dalam memahami ajaran Islam secara komprehensif.
Muhamad Hasrul yang juga Pensyarah Kanan Sejarah Timur Tengah dan Sejarah Islam berkata, nilai asas Islam merangkumi tiga perkara utama iaitu akhlak yang menekankan prinsip integriti, kejujuran dan disiplin yang wajib menjadi pegangan hidup setiap individu.
“Nilai iman pula mengajarkan konsep ihsan dan tanggungjawab, di mana setiap tindakan harus berlandaskan kesedaran kepada ALLAH SWT.
“Tidak kurang pentingnya, ilmu dalam Islam adalah tonggak utama yang harus dijunjung sebagai asas kehidupan yang memimpin umat Islam agar tidak tersesat,” katanya kepada Sinar Ahad.
Menurutnya, tanpa ilmu, umat Islam akan mudah terkeliru dalam menentukan keutamaan hidup dan sukar memahami ajaran agama mereka sendiri.
Tegasnya, sejarah juga telah memberikan pengajaran penting kepada umat Islam mengenai kesan buruk daripada amalan pemisahan antara ilmu keduniaan dan ilmu akhirat.
“Dalam konteks Malaysia, masyarakat Melayu pada zaman dahulu cenderung untuk mengehadkan ilmu agama hanya kepada aspek ibadah, sementara ilmu-ilmu lain berkaitan dengan fardu kifayah sering kali dipinggirkan.
“Akibatnya, mereka tidak menyedari betapa pentingnya ilmu moden dalam kehidupan, yang akhirnya menyebabkan negara ini dengan mudah dijajah oleh kuasa luar,” ujarnya.
Muhamad Hasrul juga menyatakan bahawa gerakan reformasi yang dibawa oleh Kaum Muda di Malaysia telah menyebabkan tercetusnya perubahan besar dalam pemikiran umat Islam.
“Gerakan ini menentang pemisahan ilmu dan menganjurkan integrasi antara ilmu aqli (akal) dan naqli (wahyu).
“Pemikiran ini dipelopori oleh tokoh-tokoh besar seperti Jamaluddin al-Afghani dan Rashid Rida, yang memperkenalkan konsep tajdid (pembaharuan) dan islah (reformasi) sebagai jalan untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam.
“Namun, bukan hanya ilmu yang menjadi kunci kepada perpaduan umat Islam, tetapi juga aspek hubungan baik sesama manusia. Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita model terbaik perpaduan melalui dasar ta’ayush (toleransi) dan muwatana (kewarganegaraan) di Madinah.
“Konsep ini menggalakkan keadilan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk, yang seharusnya diterapkan dalam masyarakat Islam masa kini,” katanya.
Menurutnya, perpaduan bukan sahaja diterapkan dalam pemerintahan Rasulullah SAW, malah diteruskan dalam zaman keemasan Andalusia di bawah pemerintahan Khalifah Abdul Rahman al-Dakhil dan Abdul Rahman al-Nasir.
“Apabila konsep persaudaraan ummah ini diremehkan, kepincangan dan perpecahan mula berlaku. Sejarah membuktikan bahawa kejatuhan beberapa dinasti termasyhur Islam seperti Umayyah, Abbasiyah, dan Uthmaniyyah berpunca daripada perpecahan dalaman yang disebabkan oleh fahaman kebangsaan yang sempit dan keutamaan bangsa tertentu.
“Kejatuhan ini berlaku kerana pengabaian terhadap prinsip asas Islam yang mengutamakan perpaduan umat,” katanya.
Menyedari hakikat itu, tegasnya, perpaduan umat Islam di Malaysia hanya akan terus terjamin jika pengukuhan asas Islam yang sebenar diterapkan dalam kehidupan seharian.
Justeru, Muhamad Hasrul menyatakan bahawa untuk mencapai status ummatan wasatan (umat pilihan dan adil) umat Islam perlu menilai kembali dasar ilmu, akhlak, dan iman dalam diri mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
