[VIDEO] 'Kami bukan pengemis, hanya kutip kotak cari rezeki'
BACHOK - "Hentikan rekod video kami anak beranak. Kami bukan pengemis tapi cari rezeki."
Demikian luah Nik Surina Deris, 49, ibu kepada tiga anak yang tular di media sosial kerana menaiki motosikal roda tiga yang uzur.
Wanita dari Kampung Padang Lati, Bukit Marak itu berkata, setiap kali video mereka tersebar di media sosial, keluarganya mengalami tekanan akibat salah faham masyarakat.
Jelasnya, lebih menyedihkan lagi apabila ada pihak menganggap mereka pengemis dan video yang tular seakan-akan seperti memohon simpati sedangkan itu adalah kerja hakiki mereka sekeluarga.

"Kami hanya kutip kotak untuk cari rezeki bagi meneruskan hidup.
"Setiap hari saya bersama tiga lagi anak akan menaiki motosikal roda tiga ke beberapa lokasi seperti Pasir Tumbuh, Kubang Kerian, Kota Bharu untuk mencari kotak.
"Anak sulung (Nik Khairulzaman Zahari, 30) akan menunggang motosikal manakala saya di belakang dan dua lagi anak akan duduk di dalam bahagian bakul," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dua anaknya, Nik Nur Fatihah, 25, dan Nik Ikramrejat, 16, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran perlu dibawa bersama kerana mereka takut tinggal di rumah.
"Suami saya, Zahari Musa, 62, bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah bangunan di Kampung Cina, Kota Bharu.
"Kami hanya bergantung kepada gaji suami sekitar RM1,200, bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) RM250 sebulan dan hasil jualan kotak sekitar RM20 seminggu," katanya.

Dia berkata, keadaan motosikal roda tiga yang uzur serta bakulnya kelihatan hampir patah kerana mereka belum mempunyai wang secukupnya untuk membaiki kerosakan tersebut.
"Harga semasa kotak ialah 25 sen sekilogram. Daripada kami duduk sahaja di rumah, baik kerja cari kotak, dapatlah duit lebih.
"Pada masa yang sama saya boleh bawa anak-anak keluar melihat orang ramai daripada duduk sahaja di rumah," katanya.

Namun katanya, selepas beberapa video tular, ramai yang salah anggap kepada mereka.
"Sehingga ada ahli keluarga datang marah menuduh kami mengemis, sengaja dapatkan perhatian orang ramai.
"Sedangkan yang rekod orang luar, sudahlah tidak minta izin dan sesuka hati buat begitu," katanya.
Nik Surina berharap orang ramai meminta izin terlebih dahulu sebelum membuat rakaman, kerana mereka juga ada perasaan.
Katanya, walaupun mereka kelihatan serba kekurangan, namun jauh sekali berniat untuk mengemis serta meraih simpati orang ramai.
Dia akui, pakaian serta motosikal uzur sehingga kelihatan seperti pengemis tetapi mereka sedang berusaha mengumpul duit untuk membeli yang baharu serta membaiki kerosakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

