Aksesori piuter hasil kreativiti Rosmah pilihan ramai wanita di Aidilfitri

Rosmah Mustafah muncul sebagai seorang usahawan wanita yang berani meneroka industri piuter sejak hampir dua dekad lepas.
Dengan minat mendalam terhadap seni perhiasan tradisional, wanita berusia 65 tahun ini terus berusaha memastikan kraf piuter kekal relevan dengan gabungan elemen klasik dan moden menerusi syarikatnya, Kasturi Heritage & Trading. Foto Bernama
Rosmah Mustafah muncul sebagai seorang usahawan wanita yang berani meneroka industri piuter sejak hampir dua dekad lepas. Dengan minat mendalam terhadap seni perhiasan tradisional, wanita berusia 65 tahun ini terus berusaha memastikan kraf piuter kekal relevan dengan gabungan elemen klasik dan moden menerusi syarikatnya, Kasturi Heritage & Trading. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hampir dua dekad menerokai industri piuter dalam penghasilan seni perhiasan tradisional, sentuhan kreatif wanita berusia 65 tahun ini dalam pembuatan aksesori klasik masih terus menjadi dambaan ramai wanita apatah lagi menjelang musim perayaan ini.

Terkenal dengan hasil ketelitian dan kehalusan seni kraf bermutu tinggi, produk perhiasan diri ciptaan Rosmah Mustafah beridentitikan gabungan elemen klasik dan moden, sering kali menjadi tumpuan dalam kalangan wanita yang ingin tampil bergaya klasik di hari raya namun pada masa sama, kekal elegan.

Mengusahakan perusahaan krafnya itu di bawah jenama Kasturi Heritage & Trading, anak jati Sungai Udang, Melaka ini berkata penambahan aksesori pada baju kurung, kebaya ataupun kebarung sebenarnya mampu membangkitkan dan menambahkan lagi aura pada seseorang wanita itu.

"Saya suka melihat kecantikan wanita, antara caranya (kecantikan itu boleh terserlah) melalui pakaian dan perhiasan tertentu...tambahan pula, daripada dulu, saya memang bercita-cita menghasilkan produk sendiri khususnya untuk wanita," katanya ketika ditemui Bernama di Bazar Kraf Aidilfitri di sini, baru-baru ini.

Sebagai pencinta budaya dan warisan, Rosmah menumpukan usahanya pada penghasilan semula aksesori tradisional seperti dokoh, kerongsang, rantai dan gelang dengan penambahan elemen moden seperti bunga kesidang, bunga rasmi negeri Melaka.

Bagi wanita ini, setiap rekaan yang dihasilkannya bukanlah sekadar produk biasa akan tetapi juga, turut mengandungi nilai estetika dan sejarah yang mencerminkan keunikan warisan Malaysia.

"Saya mengambil inspirasi reka bentuk lama, kemudian menambah nilai dengan memasukkan unsur baharu seperti batu permata, bunga raya, bunga siantan, bunga ros atau bunga kesidang sekali gus menjadikannya tampak lebih moden dan eksklusif.

"Piuter yang saya gunakan mengandungi 98 peratus kandungan tulen, jadi ia tidak mudah berkarat dan setiap aksesori ini juga akan melalui celupan emas kerana tanpanya piuter boleh mengalami perubahan warna atau ternoda dari semasa ke semasa," katanya.

Rosmah Mustafah muncul sebagai seorang usahawan wanita yang berani meneroka industri piuter sejak hampir dua dekad lepas. Foto Bernama
Rosmah Mustafah muncul sebagai seorang usahawan wanita yang berani meneroka industri piuter sejak hampir dua dekad lepas. Foto Bernama

Menjalankan operasinya di bengkel Kraftangan Melaka di Alor Gajah, Rosmah berkata, pihaknya juga mengambil pelbagai tempahan daripada agensi kerajaan dan swasta, syarikat korporat serta orang persendirian untuk dijadikan sebagai cenderahati atau majlis keraian.

Artikel Berkaitan:

Usahawan Kraftangan Melaka ini yang memperoleh kemahiran seni ini menerusi kursus khas di bawah Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) pada 2004 berkata semua produknya itu dikeluarkan dalam empat variasi warna berbeza iaitu gold, antik gold, silver dan antik silver.

Dijual serendah RM10 hingga paling tinggi RM450 bergantung pada saiz dan bentuk, wanita ini mengakui turut berdepan dengan persaingan sengit kemasukan produk China dan Korea yang ditawarkan pada harga lebih murah.

Namun itu tidak menjadi masalah buat Rosmah apabila produknya sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan khususnya menjelang musim perayaan disebabkan kualiti sentuhan seni perhiasan yang dihasilkannya itu, bukan sahaja cantik tetapi berkualiti.

"Kadangkala, kalau kita beli kerongsang import, apabila dipakai atau menguap pun, pinnya boleh terbuka atau patah, namun produk yang kami hasilkan, dijamin kualitinya serta proses pembuatannya juga lebih teliti.

"Contohnya bahagian pin pada kerongsang kami, dilekatkan atau disambungkan menggunakan teknik pateri dan setiap barangan ada waranti tanpa had tempoh," katanya sambil menambah cabaran utama yang dihadapinya ialah kenaikan kos bahan mentah yang meningkat berkali ganda.

Kerana itu, pihaknya mengharapkan generasi muda hari ini lebih menghargai usaha yang telah dilakukan dan mahukan lebih ramai lagi yang akan meneruskan legasi kraf piuter yang penggiatnya pada tika ini semakin berkurangan.

"Saya mahu melihat lebih ramai anak muda menceburi bidang ini kerana kraf piuter ialah warisan berharga yang perlu dikekalkan. Jika tiada pelapis baharu, suatu hari nanti industri ini mungkin akan lenyap," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!