Mangsa banjir Johor meningkat, cecah 12,686 orang

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di Johor kembali meningkat apabila seramai 12,686 orang daripada 3,709 keluarga masih ditempatkan di 97 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah setakat jam 8 malam ini.
Jumlah itu meningkat berbanding 11,964 mangsa daripada 3,594 keluarga yang direkodkan pada jam 6 petang pada Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, walaupun jumlah mangsa meningkat, dua PPS telah ditutup.
"Johor Bahru kembali mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir, iaitu daripada 3,664 orang (1,139 keluarga) pada tengah hari kepada 5,047 orang (1,505 keluarga) malam ini. Sebanyak 27 PPS di Johor Bahru masih aktif.
“Kluang pula menjadi daerah kedua paling terjejas dengan jumlah mangsa banjir bertambah kepada 2,736 orang (788 keluarga) berbanding 2,734 orang (786 keluarga) tengah hari tadi. Mereka kini ditempatkan di 27 PPS,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Azmi berkata, jumlah mangsa di Pontian dan Kulai juga terus meningkat.
“Di Pontian, jumlah mangsa meningkat kepada 1,873 orang (512 keluarga) yang ditempatkan di 22 PPS, berbanding 1,668 mangsa (462 keluarga) petang tadi.
“Kulai turut mencatatkan peningkatan, daripada 1,157 orang (356 keluarga) kepada 1,276 orang (394 keluarga) yang masih berlindung di lapan PPS,” katanya.
Bagaimanapun katanya, Kota Tinggi menunjukkan sedikit penurunan jumlah mangsa banjir iaitu daripada 1,779 orang (485 keluarga) pada tengah hari kepada 1,657 orang (484 keluarga) selepas dua PPS ditutup.
Kini, hanya 15 PPS masih beroperasi di daerah itu.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir atau hujan lebat bagi negeri ini.
Namun, bacaan paras air di lima sungai utama iaitu Sungai Batu Pahat, Sungai Endau, Sungai Johor, Sungai Pulai dan Sungai Jemaluang masih melepasi paras bahaya.
Setakat jam 6 petang, cuaca di Johor Bahru, Pontian dan Kluang dilaporkan cerah, manakala tujuh daerah lain dalam keadaan mendung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


