Banjir Johor: Gesa bantuan khas Aidilfitri kepada mangsa banjir

Keadaan rumah dan jalan raya serta kenderaan yang ditenggelami air akibat banjir di Kampung Pasir Tebrau berikutan hujan berterusan sejak Rabu. Gambar kecil: Suhaizan. Foto Bernama
Keadaan rumah dan jalan raya serta kenderaan yang ditenggelami air akibat banjir di Kampung Pasir Tebrau berikutan hujan berterusan sejak Rabu. Gambar kecil: Suhaizan. Foto Bernama
A
A
A

JJOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat, menggesa kerajaan pusat dan negeri supaya segera menyalurkan bantuan khas sebelum Aidilfitri kepada mangsa banjir di Johor yang terjejas teruk ketika ini.

Beliau berkata, fenomena banjir kali ini luar biasa apabila hujan turun dalam tempoh dua hari sejak Rabu menyamai kadar hujan dua bulan biasa, menyebabkan beberapa kawasan di Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi ditenggelami air.

“Saya telah melawat beberapa lokasi termasuk Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir dan mendapati ramai penduduk kehilangan harta benda menjelang Aidilfitri.

"Limpahan air Sungai Skudai turut menyebabkan kenderaan terkandas lebih tujuh jam di Lebuhraya Skudai,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu menambah, banjir kali ini memusnahkan peralatan rumah, pakaian, dokumen penting serta kenderaan, menyebabkan kerugian besar kepada rakyat.

Dalam pada itu, Suhaizan turut mencadangkan peruntukan khas untuk membaiki infrastruktur yang rosak seperti jalan raya, sistem perparitan dan saluran paip bawah tanah, khususnya di kawasan rumah pangsa seperti Lily Jasmie di Tampoi.

“Bagi mengelakkan kejadian banjir luar biasa berulang, penyelenggaraan Sungai Skudai menerusi peruntukan RM99.8 juta Kerajaan Madani perlu disegerakan.

"Projek pam penyedut air sungai ke laut, seperti di Kampung Pasir, juga wajar diberi keutamaan,” katanya.

Banjir yang melanda sejak Rabu lalu menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan ke PPS di Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Pontian dan Kluang.

Artikel Berkaitan:

Setakat jam 2 petang pada Jumaat, jumlah mangsa banjir direkodkan seramai 10,794 orang daripada 3,216 keluarga yang kini berlindung di 99 PPS.

Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 3,664 orang daripada 1,139 keluarga yang ditempatkan di 27 PPS.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!