Mangsa banjir enggan pindah tapi minta hantar bekalan makanan

JOHOR BAHRU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berdepan kesukaran memindahkan mangsa banjir di daerah ini apabila segelintir mereka enggan berpindah walaupun telah dinasihatkan.
Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir, berkata hujan lebat berterusan selama 48 jam menyebabkan banjir berlaku serentak di hampir semua kawasan rendah serta lokasi baharu di daerah ini.
“Dalam tempoh tersebut, kami menerima jumlah panggilan penyelamatan yang tinggi berbanding hari biasa," katanya ketika ditemui di Sungai Pandan, berdekatan Kampung Kangkar Tebrau, pada Jumaat.
Menurutnya, sejak semalam, seluruh kekuatan anggota JBPM digerakkan untuk membantu operasi menyelamat mangsa banjir, terutama di kawasan yang terjejas teruk.
Bagaimanapun, ujarnya, pasukan penyelamat berdepan cabaran apabila segelintir mangsa enggan berpindah dengan pelbagai alasan.
“Ada yang mendakwa sudah terbiasa dengan banjir dan yakin air akan surut dalam tempoh beberapa jam, namun keadaan sebaliknya berlaku.
“Ada juga yang tidak mahu ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana lebih selesa di rumah dan mahu menjalani ibadah puasa di kediaman masing-masing.
“Lebih merumitkan, ada yang enggan berpindah tetapi meminta kami menghantar bekalan makanan,” katanya.
Justeru itu, beliau menasihatkan mangsa banjir supaya segera ke PPS yang disediakan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mereka terjamin.
Pada masa sama, Siti Rohani memaklumkan, JBPM Johor telah menggerakkan seramai 655 anggota serta pegawai bersama jentera, lori, bot dan kenderaan utiliti bagi menghadapi situasi banjir kali ini.
"Setakat ini, tiada keperluan untuk menukar syif bertugas daripada 12 jam kepada 24 jam kerana keadaan masih terkawal.
“Jika hujan lebat berterusan dan keadaan semakin kritikal, pasukan bantuan dari balai bomba luar daerah akan digerakkan bagi membantu operasi menyelamat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

