'Aidilfitri tak seceria dahulu tanpa ayah'

Muhammad Aliff Hafiz (kiri) gembira menerima sumbangan kelengkapan menyambut Aidilfitri dan diraikan di Alamanda.
Muhammad Aliff Hafiz (kiri) gembira menerima sumbangan kelengkapan menyambut Aidilfitri dan diraikan di Alamanda.
A
A
A

PUTRAJAYA - "Hanya gambar menjadi tatapan buat mengubati rindu terhadap bapa, terutama sekali ketika Hari Raya Aidilfitri."

Demikian luahan hati Muhammad Aliff Hafiz Mohd Amirul, 11, yang kehilangan bapanya ketika usia baru mencecah setahun akibat kemalangan.

Menurut kanak-kanak lelaki itu, tidak banyak memori yang dapat dikongsinya bersama arwah bapanya.

"Saya hanya tahu daripada cerita keluarga, ayah meninggal dunia akibat dilanggar kereta ketika lintas jalan," katanya ketika ditemui selepas diraikan oleh pusat beli-belah Alamanda di sini baru-baru ini.

Seramai 41 anak yatim dan kurang bernasib baik berusia antara sembilan hingga 12 tahun dari Yayasan Anak Yatim dan Kebajikan Murid Islam Semenyih (Yayakem) diraikan dan menerima sumbangan sempena Aidilfitri.

Izwan Hasli (tengah) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak dari Yayakem sambil diperhatikan oleh Junaidy (kanan).
Izwan Hasli (tengah) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak dari Yayakem sambil diperhatikan oleh Junaidy (kanan).

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings Sdn Bhd, Datuk Ir Ts Izwan Hasli Mohd Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan; Pengurus Besar Alamanda, Junaidy Jamaludin dan Naib Yang Dipertua Yayakem, Muhammad Hanafi Jalalludin.

Bercerita lanjut, Muhammad Aliff Hafiz berkata, dia amat bersyukur kerana kebajikannya terbela dan banyak pihak yang prihatin terhadap anak yatim sepertinya.

Seorang lagi anak yatim, Muhammad Khalish Dameer Mohd Nazri, 10, turut berkongsi kisah kehilangan bapanya akibat kanser.

Katanya, arwah bapanya seorang yang penyayang dan suka membawanya berjalan-jalan, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri.

"Ketika ayah meninggal dunia akibat kanser, saya baru berusia lima tahun. Saya amat rindu saat memimpin tangan ayah dan berjalan bersama-sama," katanya dengan nada sebak.

Bagi Aina Najwa Ahmad Fathi, 11, kehilangan bapa akibat kanser paru-paru membuatkan suasana Aidilfitri tidak lagi seceria dahulu.

"Memang saya rasa raya tak lengkap tanpa bapa, tetapi saya tetap bersyukur kerana masih ada ibu," ujarnya.

Menurutnya lagi, selepas pemergian bapanya, keluarganya menerima bantuan zakat dan sumbangan daripada individu yang prihatin.

"Kadangkala, pak cik yang belikan kelengkapan raya untuk saya. Namun, hari ini saya sangat gembira kerana diraikan oleh pihak Alamanda," katanya.

Aina Najwa (kanan) mencuba kasut baharu sambil diperhatikan oleh rakannya.
Aina Najwa (kanan) mencuba kasut baharu sambil diperhatikan oleh rakannya.

Sementara itu, Francis berkata, kanak-kanak yang diraikan, menikmati pengalaman membeli-belah persiapan raya di mana mereka memilih sendiri pakaian dan kasut raya baharu yang ditaja oleh rakan niaga seperti Bata.

Tambah beliau, majlis itu menjadi lebih istimewa apabila mereka turut menerima sumbangan duit raya daripada Alamanda dan TUCZ.

“Sebagai pusat beli-belah utama di Putrajaya, Alamanda memainkan peranan penting dalam memupuk semangat prihatin dan kebersamaan dalam komuniti.

"Melalui inisiatif seperti ini, kami berharap dapat menyuntik sinar keceriaan kepada mereka yang kurang berkemampuan, terutamanya kanak-kanak yang tidak berpeluang menikmati suasana Ramadan dan Syawal seperti rakan sebaya mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!