Isu Kuil: Tidak logik tuan tanah cari kawasan lain - Dr Akmal Saleh

SHAH ALAM - Cadangan agar pembinaan masjid dilakukan di tempat lain adalah tidak logik memandangkan tapak berkenaan bukan milik sah Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan itu seolah-olah meminta pemilik tanah mencari lokasi lain untuk pembangunan yang ingin dilaksanakannya.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menawarkan tanah lain untuk dipindahkan, tetapi mereka masih enggan menerima. Sekarang, mereka pula meminta pemilik tanah mencari kawasan lain.
“Ini peguam jenis apa yang menggunakan logik undang-undang sebegini? Jika begitu, bolehkah saya meminta mereka keluar dari rumah sendiri kerana saya mahu mendudukinya?” katanya.
Sebelum ini, Pengasas Jakel, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad, telah mewakafkan tanah di Jalan Masjid India untuk pembinaan sebuah masjid bagi menampung keperluan komuniti di kawasan itu.
Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel Trading Sdn Bhd, Aiman Dazuki, turut menjelaskan bahawa rancangan pemindahan kuil Hindu itu dibuat bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid berkenaan.
Bagaimanapun, penyokong pemeliharaan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur mencadangkan ‘tapak alternatif’ untuk pembinaan masjid tersebut.
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Zaid Malek mencadangkan agar masjid dibina di dua plot tanah berdekatan, berbanding meroboh dan memindahkan kuil berusia 130 tahun itu.
Menurut Dr Muhamad Akmal, jika sebuah masjid dibina di atas tanah yang bukan miliknya, ia tetap perlu dipindahkan kerana bukan hak masjid tersebut.
“Saya ingin maklumkan kepada Ambiga dan rakan-rakan peguam mereka dalam kes ini mengenai perkara ini.
“Pemilik tanah sangat bertolak ansur, 10 tahun berbincang untuk mencari penyelesaian, bukannya beli hari ini dan esok terus suruh keluar,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!