DBKL kenal pasti lokasi baharu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman

Tangkap layar kenyataan DBKL pada Khamis.
Tangkap layar kenyataan DBKL pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti lokasi baharu bagi pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak berhampiran Jalan Masjid India, di sini.

Menurut DBKL, langkah ini bertujuan memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan mereka dengan selesa dan harmoni.

"Proses pemindahan akan dilakukan secara telus dan adil, selain membabitkan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan," menurut kenyataan DBKL pada Khamis.

DBKL turut mengambil maklum mengenai cadangan pembinaan sebuah masjid di atas tanah milik syarikat swasta di Jalan Masjid India dan perkara ini menjadi perhatian kerana sebahagian kecil tanah tersebut menempatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.

"Projek ini merupakan cadangan syarikat swasta berkenaan selaku pemilik sah tanah tersebut dan bukan daripada kerajaan.

"Bagaimanapun, DBKL sebagai pihak yang diamanahkan oleh kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk membantu mencari jalan penyelesaian terbaik buat semua pihak yang terlibat serta mengelakkan diskriminasi terhadap mana-mana kaum," katanya.

Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman terletak berhampiran Jakel Mall di Jalan Masjid India telah dibina sejak akhir abad ke-19 dan kini berada di tengah-tengah kawasan pembangunan pesat.

Difahamkan, tanah yang menempatkan kuil tersebut telah dijual kepada sebuah syarikat swasta yang turut memiliki sebuah pusat beli-belah di lokasi sama.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan itu, DBKL turut memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan struktur kuil tersebut dan ia boleh beroperasi seperti biasa sehingga proses pemindahan selesai.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menegaskan bahawa setiap langkah yang sedang dan akan diambil selaras dengan prinsip kebebasan beragama seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

"DBKL menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan proses pemindahan berjalan lancar.

"Semua pihak perlu mengekalkan keharmonian serta terus menghormati kepelbagaian agama di negara ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!