Tiada kekecohan di Selangor, kata polis

NOOR AZAM
NOOR AZAM
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis Selangor menegaskan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku di negeri itu berikutan pergolakan politik berlaku ketika ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, sehingga kini, keadaan di Selangor terkawal malah pihaknya tidak menerima sebarang laporan kekecohan tercetus atau perhimpunan penyokong parti politik.

"Sepanjang minggu ini kami tidak menerima sebarang laporan kekecohan dan provokasi daripada mana-mana parti politik.

"Saya yakin, penduduk Selangor sudah matang. Mereka pandai membuat keputusan sendiri dan mematuhi sistem demokrasi negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Selangor di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di sini hari ini.

Noor Azam berkata, semua anggota dan pegawai polis masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap sedia sekali gus akan bertindak jika berlaku sebarang kekacauan.

"Pihak kami sentiasa bersiap sedia sama ada dalam keadaan aman atau pun dalam keadaan apa jua sekali pun, malah kita bukan hanya bersedia dalam keadaan pergolakan politik yang berlaku, tetapi secara konsisten terus berkhidmat," katanya.

Ditanya berhubung kemungkinan pembekuan cuti pegawai dan anggotanya sekiranya berlaku pembubaran Parlimen, Noor Azam berkata, sekiranya berlaku perkara demikian sudah tentu semua anggota dan pegawai perlu memberikan komitmen tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlukan kekuatan dalaman untuk menghadapi suasana sedemikian termasuk memanggil mereka yang bercuti untuk bertugas sekiranya keadaan memerlukan," katanya.