'Trauma lihat tangan cucu hancur, berlumuran darah terkena mercun' - Datuk

KUALA NERANG - "Dia kata pedih-pedih sebelum saya ambil bajunya dan balut tangannya yang berdarah."
Demikian kata Mohd Nor Abdullah, 60, datuk kepada Muhammad Zharif Daniel, 7, yang cedera parah di tangan kiri dan pipi sebelah kanannya terkoyak akibat terkena mercun dipercayai jenis bola di laman rumahnya di Kampung Baru, di sini.
Dalam kejadian malam Selasa itu, Mohd Nor sedang berehat di dalam rumah sebelum terkejut apabila terdengar bunyi letupan kuat dari luar.
“Saya terus bergegas keluar dan tergamam melihat cucu saya dalam keadaan berlumuran darah. Tangannya cedera teruk dan pipinya juga terkena percikan letupan.

“Saya trauma bila tengok banyak darah dan tengok tangannya hancur. Saya cepat-cepat ambil baju dan membalutnya sebelum membawa dia ke Hospital Kuala Nerang dengan kereta kawan,” katanya ketika ditemui pada Rabu.
Menurut Mohd Nor, dia tidak pasti dari mana cucunya memperoleh mercun tersebut kerana difahamkan ramai kanak-kanak lain turut bermain di kawasan itu.
Ceritanya lagi, kejadian tersebut memberikan kesan mendalam kepada anaknya, Norsyuwari Hariz yang memasang impian untuk melihat Muhammad Zharif Daniel menjadi seorang askar apabila besar kelak.
"Harapan Norsyuwari untuk melihat anaknya menjadi askar itu sudah tiada apabila melihat kecederaan yang dialami oleh anak keduanya itu.

"Dia minat bidang askar dan mahu anaknya itu sertai bidang uniform berkenaan kerana Muhammad Zharif Daniel seorang yang aktif sejak dari kecil," ujarnya.
Tambahnya, mangsa kedua dari tiga beradik tinggal bersamanya sejak kecil dan kejadian ini memberi tamparan hebat kepada seluruh keluarga.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, Muhammad Zharif Daniel bersama adiknya, Muhammad Aiman Naufal, 4, dikatakan sedang bermain mercun yang dipercayai diperoleh daripada rakan sekampung sebelum bermain di luar rumah tanpa disedari keluarga mereka.
Muhammad Zharif Daniel mengalami kecederaan parah, manakala adiknya turut mengalami luka ringan.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintenden Abdull Razak Osman, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 1.32 pagi selepas pegawai perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, memaklumkan tentang insiden itu.
“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke zon merah HSB sekitar jam 9.30 malam untuk rawatan lanjut,” katanya.
Abdull Razak dalam perkembangan semasa berkata, mangsa yang cedera parah melecur kira-kira 60 peratus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!