Tragedi menjelang Syawal, abang parah, adik cedera main mercun bola

PADANG TERAP – Dua beradik lelaki berusia empat dan tujuh tahun mengalami kecederaan selepas dipercayai bermain mercun jenis bola dalam kejadian di Kampung Baru, Kuala Nerang, pada malam Selasa.
Dalam insiden sekitar jam 8.15 malam itu, kedua-dua mangsa dipercayai memperoleh mercun berkenaan daripada rakan sekampung sebelum bermain di luar rumah tanpa disedari ibu bapa mereka.
Difahamkan kejadian pertama yang berlaku di Kedah pada Ramadan ini menyebabkan abang parah manakala adiknya pula mengalami kecederaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintenden Abdull Razak Osman, pihaknya menerima laporan pada jam 1.32 pagi selepas pegawai perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar memaklumkan mengenai kejadian itu.
Dua kanak-kanak malang tersebut dikejarkan ke zon merah (HSB) sekitar jam 9.30 malam.
"Siasatan awal mendapati ibu mangsa hanya menyedari kejadian selepas terdengar bunyi letupan sebelum bergegas keluar dan mendapati kedua-dua anaknya cedera.
"Ayah mangsa pula tiada di rumah ketika itu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Abdull Razak berkata, seorang daripada mangsa yang berusia tujuh tahun mengalami kecederaan serius dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HSB.
Susulan kejadian, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Jika sabit kesalahan, mereka yang memiliki bahan letupan secara haram boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun.
Sementara itu, individu yang didapati cuai sehingga membahayakan kanak-kanak boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!