'Zharif belum sedarkan diri, masih kritikal' - Datuk

Muhammad Zharif Daniel mengalami kecederaan parah di tangan kiri serta bahagian pipi kanan, manakala adiknya turut mengalami luka ringan dan melecur pada badan. (Gambar kecil: Noor Abdullah)
Muhammad Zharif Daniel mengalami kecederaan parah di tangan kiri serta bahagian pipi kanan, manakala adiknya turut mengalami luka ringan dan melecur pada badan. (Gambar kecil: Noor Abdullah)
A
A
A

ALOR SETAR - Kanak-kanak lelaki yang parah akibat letupan mercun bola di Kampung Baru, Kuala Nerang, masih belum sedarkan diri selepas menjalani pembedahan kali kedua pada malam Rabu.

Datuknya, Mohd Noor Abdullah, 60, berkata, cucunya, Muhammad Zharif Daniel Norsyuwari Hariz, 7, kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan masih dalam keadaan kritikal.

Menurutnya, doktor telah melakukan pembedahan bagi merawat kesan melecur pada bahagian badan akibat letupan mercun bola yang berlaku pada malam Selasa.

"Saya masih belum berpeluang melihat Zharif sehingga sekarang, hanya mampu menunggu di luar wad PICU sambil berdoa agar dia cepat sedar," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Pada Rabu, media melaporkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.15 malam pada Selasa, ketika Muhammad Zharif Daniel bersama adiknya, Muhammad Aiman Naufal, 4, dipercayai bermain mercun yang diperoleh daripada rakan sekampung tanpa disedari keluarga mereka.

Muhammad Zharif Daniel mengalami kecederaan parah di tangan kiri serta bahagian pipi kanan, manakala adiknya turut mengalami luka ringan dan melecur pada badan.

Mohd Noor berkata mereka sekeluarga amat terkesan dengan kejadian itu dan tidak berhenti mendoakan kesembuhan dua beradik tersebut.

"Saya hanya mampu berdoa agar mereka kembali sihat seperti sediakala. Insya-ALLAH, jika keadaan Aiman semakin baik, dia mungkin akan dibenarkan keluar wad petang ini," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!