Pemilik restoran didenda RM2,000 bunuh anjing liar guna mercun

BATU GAJAH - Seorang pemilik restoran didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Batu Gajah pada Jumaat selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan membunuh seekor anjing liar menggunakan mercun, Januari lalu.
Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin menjatuhkan hukuman itu terhadap Wong Phan Sang, 64, dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan membunuh seekor anjing liar di hadapan sebuah premis restoran di Jalan Seroja, Taman Pusing Baru, Pusing dalam daerah Batu Gajah kira-kira jam 7.30 malam pada 28 Januari 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Monisha Pandey manakala tertuduh diwakili peguam, Choong Hui Yean.
Berdasarkan fakta kes, perbuatan tertuduh membaling satu objek iaitu mercun ke arah anjing liar berkenaan sehingga menyebabkan haiwan itu mati telah dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berdekatan.
Bertindak atas laporan diterima, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah menahan suspek pada 30 Januari lalu di pekarangan IPD Batu Gajah.
Semasa siasatan dijalankan, suspek membawa polis ke kediamannya dan menyerahkan satu bekas plastik yang mengandungi pemetik api serta enam mercun jenis bola pelbagai warna.
Ringkasan AI
- Seorang pemilik restoran didenda RM2,000 kerana membunuh anjing liar dengan mercun
- Di Batu Gajah, tertuduh juga menghadapi hukuman penjara dua bulan jika gagal bayar denda
- Insiden berlaku di depan premis restoran tertuduh, dirakam oleh CCTV
- Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan
- Tertuduh menyerahkan mercun sebagai bukti kepada polis semasa siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

