Lelaki cedera parah selepas selisih faham dengan isteri

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki mengalami kecederaan parah di leher selepas berselisih faham dengan isterinya di hadapan sebuah restoran di Danga Bay di sini pada awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 12.25 tengah malam selepas dimaklumkan oleh anggota polis bantuan yang berada di lokasi.
"Siasatan awal mendapati lelaki berusia 27 tahun itu mendapatkan kecederaan berkenaan setelah dipercayai mengalami tekanan perasaan akibat berselisih faham dengan isterinya.
“Mangsa kini dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, kejadian tersebut tular di media sosial selepas sebuah video dimuat naik oleh pemilik akaun X, Update1111, memaparkan punca kejadian dan senjata yang menjadi punca lelaki berkenaan mengalami kecederaan parah.
Dalam pada itu, Raub turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video insiden itu bagi mengelakkan spekulasi serta salah faham yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Polis juga mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan fizikal dalam menyelesaikan perselisihan faham. Sebarang ketidakpuasan hati seharusnya diselesaikan secara aman melalui saluran betul.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di 07-2182323," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!