[VIDEO] Warga emas tampar pemuda disangka Muslim dilepas tanpa dibebaskan

A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Majistret di sini pada Rabu melepas tanpa membebaskan (DNAA) seorang warga emas yang menampar seorang lelaki bukan Muslim di sebuah kedai serbaneka di pusat membeli-belah di sini pada Ahad lalu.

Keputusan dibuat Majistret A Shaarmini selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam memaklumkan kepada mahkamah berhubung arahan terbaharu untuk merujuk semula kertas siasatan kes berkenaan ke Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

Sebelum itu, kes berkenaan telah didengar dan kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Orang Kena Saman (OKS), Abdul Razak Ismail, 65.

Abdul Razak tiba di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu.
Abdul Razak tiba di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu.

Abdul Razak didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pemuda berusia 21 tahun di sebuah premis kedai serbaneka di sebuah pusat membeli-belah di sini kira-kira jam 3.45 petang, Ahad lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku apabila Abdul Razak bertindak menampar pipi kanan mangsa dan pegawai kesihatan mengesahkan mangsa mengalami lebam di pipi.

Bagaimanapun, Abdul Razak kemudian menyatakan beberapa fakta yang dibacakan adalah tidak tepat.

Artikel Berkaitan:

"Masa tak betul. Saya tampar, tapi tak sampai lebam," katanya.

Abdul Razak dibebaskan tanpa dilepaskan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan menampar pemuda bukan Muslim di kedai serbaneka di sebuah pusat beli-belah, Ahad.
Abdul Razak dibebaskan tanpa dilepaskan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan menampar pemuda bukan Muslim di kedai serbaneka di sebuah pusat beli-belah, Ahad.

Namun, apabila majistret bertanya semula kepada Abdul Razak sama ada mahu dibicarakan, OKS kemudian mengaku bersalah walaupun tidak bersetuju dengan fakta kes yang dibacakan.

Keadaan itu menyebabkan majistret menolak pengakuan bersalah OKS berkenaan.

"Saya terpaksa menolak pengakuan bersalah bersyarat dibuat OKS kerana pengakuan bersalah seharusnya dibuat tanpa bersyarat," kata majistret.

 Mahkamah Majistret di sini pada Rabu melepas tanpa membebaskan (DNAA) seorang warga emas yang menampar seorang lelaki bukan Muslim di sebuah kedai serbaneka di pusat membeli-belah di sini pada Ahad lalu.
Mahkamah Majistret di sini pada Rabu melepas tanpa membebaskan (DNAA) seorang warga emas yang menampar seorang lelaki bukan Muslim di sebuah kedai serbaneka di pusat membeli-belah di sini pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, ketika Timbalan Pendakwa Raya sedang berhujah untuk menetapkan jaminan tertuduh, beliau memaklumkan mendapat arahan terbaharu daripada Pejabat Peguam Negara yang mengarahkan untuk mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai DNAA.

Majistret kemudian bertanya sama ada kes berkenaan akan dituduh semula sebelum Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan mahkamah bahawa kes itu akan dituduh semula selepas Pejabat Peguam Negara di Putrajaya meneliti semula kertas siasatan.

Sebelum itu, tular video di aplikasi X yang memaparkan seorang pemuda ditegur seorang warga emas kerana didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat membeli-belah di sini.

Pada Isnin, polis mengesahkan mangsa telah membuat laporan mengenai insiden tersebut pada jam 9.08 malam, Ahad.

Mangsa mendakwa ditampar dua kali pada pipi kanan oleh seorang lelaki tidak dikenali selepas suspek bertanya mengenai agamanya dan meminta MyKad miliknya.

Bagaimanapun, keengganan mangsa menyerahkan MyKad miliknya menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum dia ditampar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!