Wajah berubah akibat derita sakit buah pinggang

SHAH ALAM – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, Muhammad Afiq Hazim Mohd Rizuwan mengalami perubahan ketara pada wajah akibat masalah rahang, menjadikan penampilannya berbeza daripada sebelum ini.
Ibunya, Nurwahida Che Ani, 44, berkata, perubahan itu mula dikesan sejak empat tahun lalu dan kini semakin ketara.
Menurutnya, masalah rahang yang dihadapi anak keduanya daripada tiga beradik itu berpunca daripada penyakit buah pinggang kronik (CKD) yang dihidapi sejak 14 tahun lalu.
"Muhammad Afiq Hazim dilahirkan sempurna, tetapi fizikalnya berubah dari semasa ke semasa kerana masalah buah pinggang. Penyakit ini menyebabkan tulangnya mudah reput, tulang belakang bengkok, pergerakan terbatas serta perubahan pada wajah.
"Sejak lahir, dia bergantung sepenuhnya kepada rawatan dialisis bagi meneruskan kehidupan dan kini perlu memakai alat bantuan oksigen kerana tahap oksigen dalam badannya rendah.
"Dia mula menjalani rawatan dialisis sejak berusia 19 bulan selepas dikesan mempunyai satu buah pinggang yang tidak berfungsi dengan baik. Setiap hari, dia menjalani rawatan dialisis selama 10 jam, biasanya pada waktu malam," katanya kepada Sinar Harian.
Nurwahida berkata, pada awalnya, Muhammad Afiq Hazim hanya mengalami demam biasa, tetapi berlarutan selama empat hari.
Ketika mendapatkan rawatan di klinik kerajaan, ujian darah menunjukkan bacaan hemoglobin (HB) rendah sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dia hanya mempunyai satu buah pinggang yang kecil dan tidak seiring dengan usianya, malah semakin mengecut.
"Selepas dirujuk ke Hospital Selayang untuk rawatan pakar, doktor mengesahkan penyakitnya sudah berada di tahap akhir," katanya.
Menurut Nurwahida yang menetap di Ijok, Kuala Selangor, disebabkan keadaan kesihatannya yang lemah dan mudah dijangkiti penyakit, Muhammad Afiq Hazim hanya bersekolah untuk beberapa tahun sahaja.
Pada usia 12 tahun, dia tidak dapat ke sekolah kerana negara ketika itu dilanda pandemik Covid-19.
"Saya tidak benarkan dia ke sekolah kerana bimbang kesihatannya terjejas. Lebih menyedihkan, walaupun Covid-19 sudah pulih, keadaan kesihatannya semakin merosot dan keputusan terbaik adalah berhenti sekolah.
"Saya selalu bertanya sama ada dia reda dengan keadaannya, dan dia sentiasa menjawab ‘okay’. Dia memang seorang anak yang tabah serta berfikiran positif.
"Cuma, sebagai ibu, hati saya sering sebak dan kadang kala menitiskan air mata melihat penderitaannya. Jika boleh, saya mahu dia sembuh, walaupun sedar ia sukar, kerana kami semua sangat menyayanginya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!