Dua lelaki tempatan ditahan cuba seludup beras putih

JITRA – Cubaan dua lelaki tempatan menyeludup 40 tan beras putih dari negara jiran berjaya ditumpaskan selepas cawangan risikan Ibu Pejabat Risik Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan sebuah lori pada Ahad.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, beras putih berkenaan disyaki diseludup dari negara jiran melalui Rantau Panjang, Kelantan sebelum dibawa ke utara untuk dipasarkan.
Menurutnya, dua lelaki tempatan berusia 30 dan 34 tahun itu ditahan pada jam 4 petang di Jitra hasil operasi penguatkuasaan Kawalselia Padi dan Beras oleh cawangan risik Ibu Pejabat Risik Briged Utara, PGA.
“Hasil soal siasat mendapati beras tersebut dibawa dari Kelantan dan pasukan risikan telah mengekori mereka dari Hentian Banjaran Titiwangsa hingga ke lokasi tangkapan. Kita percaya beras itu dibawa ke kilang sekitar Jitra untuk dibungkus semula.
"Nilai beras yang dirampas dianggarkan berjumlah RM160,000, manakala keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan bernilai RM510,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Shahrum memaklumkan, Briged Utara PGA sentiasa menjalankan pengawasan dan rondaan di sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Briged Utara PGA akan terus komited dalam penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi terhadap kesalahan, khususnya melibatkan penyelewengan barang keperluan harian yang menjadi kepentingan awam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat supaya menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!