Boleh bantut pentadbiran negara

SHAH ALAM - Mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia kerana dikhuatiri akan membantutkan pentadbiran negara.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, ini kerana menjadi kebiasaan di Malaysia akan berlaku perubahan struktur asal dasar setiap kali bertukar kepimpinan baharu.
Menurutnya, bagi negara yang sedang membangun seperti Malaysia, perkara tersebut tidak bagus untuk masa hadapan.
“Di Malaysia kalau ini berlaku dalam konteks pemimpin parti politik yang mempunyai perbezaan dari segi ideologi, pendapat dan pengalaman kita risau negara berada di takuk lama kerana dasarnya kerap berubah.
“Contohnya, lepas 10 tahun tukar Perdana Menteri, dia ubah pula polisi baharu dan untuk negara membangun macam kita ini adalah sesuatu yang tidak bagus dan akan mengganggu gugat pentadbiran negara.
“Memang betul kita nak kejar reformasi dan buat perubahan dalam institusi negara tetapi kita kena lebih realistik dan melihat kesan jangka panjang,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Mujibu berkata, tidak dinafikan terdapat juga kelebihan jika mengehadkan tempoh 10 tahun, antaranya negara akan mempunyai pemimpin muda.
Jelasnya, kebanyakan negara yang mencadangkan tempoh dua penggal untuk jawatan Perdana Menteri adalah negara yang mempunyai pemimpin terlalu lama berkhidmat dan banyak berlaku jenayah rasuah.
“Kita tengok pula dari segi perseptif perlembagaan, sangat jelas kita sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen. Jadi jawatan Perdana Menteri tiada syarat tertentu kecuali mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.
“Kalau sudut perundangan agak longgar, sudah tentu perkara ini bukan sahaja melibatkan perlembagaan tetapi juga parti bertanding memandangkan lazimnya di Malaysia jawatan itu dilantik daripada ketua parti.
“Kalau ketua parti tiada had berapa penggal tetapi jawatan Perdana Menteri berbeza sudah tentu reaksi parti itu perlu dititikberatkan dalam konteks ini,” ujarnya.
Sebelum ini, DAP memohon kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan dalam konteks mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan perlu melaksanakannya dalam tempoh 24 bulan ini memandangkan ia salah satu manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).Anthony bagaimanapun berkata, pihaknya akan mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya kembali membentuk kerajaan pada PRU16 kelak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

