Anwar mahu cadangan had tempoh jawatan PM diteliti secara mendalam - Fahmi

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dikaji secara teliti dan mendalam.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dizahirkan Perdana Menteri, semasa mempengerusikan mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Fahmi berkata, ini kerana cadangan tersebut membabitkan proses yang rumit dan memerlukan pertimbangan secukupnya, memandangkan ia bakal melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.
"Sebarang perkara yang menjurus ke arah pindaan Perlembagaan (Persekutuan) adalah perkara yang perlu diberi pertimbangan yang cukup mendalam.
"Maka Perdana Menteri minta supaya hal ini diteliti dan dikaji secara keseluruhan,” katanya pada sidang media mingguan di sini pada Rabu.
Anwar ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP baru-baru ini berkata, kerajaan memegang janji melaksana agenda reformasi termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Anwar menegaskan proses itu perlu dilaksana dengan rapi dan memerlukan konsensus semua parti serta dua pertiga ahli Parlimen. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!