Selangor perkasa ekonomi wanita

Anfaal (tengah) merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Negeri Selangor 2025
Anfaal (tengah) merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Negeri Selangor 2025
A
A
A

SELAYANG - Kerajaan Selangor menegaskan komitmennya dalam memperkasakan wanita melalui dasar dan program mesra keluarga serta menyokong wanita dalam bidang ekonomi.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, dalam Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Negeri Selangor 2025, menekankan kepentingan memastikan wanita dapat mengejar aspirasi tanpa halangan budaya dan sosial.

Tema sambutan tahun ini, "Wanita Beraspirasi Membina Legasi", diangkat bagi mengiktiraf peranan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan serta menangani cabaran seperti ketidakseimbangan tanggungjawab rumah tangga yang menghalang penyertaan wanita dalam tenaga kerja.

Menurut Anfaal, kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh masih rendah pada 56.2 peratus, jauh ketinggalan berbanding lelaki.

"Antara faktor penyumbang ialah 'motherhood penalty', di mana wanita sering digalakkan untuk berhenti atau memperlahankan kerjaya selepas melahirkan anak, sedangkan lelaki terus bekerja tanpa halangan yang sama.

"Sebagai langkah penyelesaian, Kerajaan Negeri telah merangka Dasar Wanita Selangor 2024-2026, termasuk inisiatif seperti aturan pekerjaan anjal dan insentif kembali bekerja bagi menggalakkan lebih ramai wanita kekal dalam pasaran buruh," ujarnya ketika berucap pada majlis sambutan di IDCC Selayang, di sini, pada Ahad.

Selain itu, ujarnya, melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS), kerajaan memperkenalkan program Pusat Wanita Berdaya (PWB) bagi membina kapasiti wanita dalam komuniti serta memperkukuh daya tahan ekonomi keluarga.

Program USAHAWANITA, yang kini memasuki tahun kedua, turut diperkenalkan untuk membantu wanita menjana pendapatan melalui keusahawanan digital.

Artikel Berkaitan:

Majlis turut menampilkan penghargaan khas kepada ibu tunggal dan anak-anak yatim, golongan yang sering berdepan cabaran besar dalam kehidupan seharian.

"Ibu tunggal membesarkan anak tanpa sokongan pasangan di bandar besar seperti Selangor dan Kuala Lumpur adalah satu tugas yang sangat mencabar. Mereka adalah adiwira sebenar dalam masyarakat," kata Anfaal.

Beliau juga menyeru masyarakat agar lebih prihatin dan memainkan peranan sebagai penjaga kepada anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa, agar mereka dapat membesar dalam persekitaran yang menyokong.

Anfaal turut menegaskan bahawa kemajuan tamadun bermula dengan kejayaan wanita.

"Setiap langkah yang diambil hari ini akan membuka jalan kepada generasi masa depan. Wanita bukan sahaja membentuk keluarga, tetapi juga masa depan negara," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!