[VIDEO] Rumah daif disewa RM250 sebulan dijadikan makmal dadah
BAGAN DATUK - Kegiatan tiga lelaki yang menjadikan sebuah rumah kampung usang sebagai makmal memproses dadah terbongkar dalam serbuan di Ulu Bernam, Rabu lalu.
Serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sekitar jam 10.20 malam itu berjaya merampas dadah jenis syabu dan ketamin serta pelbagai peralatan memproses bernilai lebih RM1.6 juta.
Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani@Mohd Salahuddin Che Ali berkata, rumah papan yang usang dan terletak jauh di dalam kawasan estet itu disewa pada kadar RM250 sebulan sejak tiga bulan lalu bagi dijadikan makmal haram.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, salah seorang suspek didapati sedang leka memproses dadah jenis ketamin.
“Hasil serbuan, polis menjumpai 27.05 kilogram (kg) ketamin, 40 liter cecair ketamin, 1.8 kg syabu serta pelbagai bahan kimia dan peralatan memproses dadah.
“Sindiket ini dikesan aktif sejak pertengahan tahun lalu dan mereka sengaja memilih lokasi terpencil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk, Ahad lalu.
Beliau berkata, penahanan suspek pertama, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun, membawa kepada tangkapan dua lagi rakannya masing-masing di Sentul, Kuala Lumpur dan Batu Caves, Selangor sekitar jam 11 malam pada hari yang sama.

"Siasatan mendapati suspek utama bertindak sebagai 'tukang masak' yang memproses dadah, manakala dua lagi lelaki berusia 42 dan 44 tahun berperanan sebagai pengantara.
"Suspek mengaku mempelajari kaedah memproses dadah daripada rakan ketika menjalani hukuman di penjara serta menerusi video di YouTube.
"Semua dadah yang dihasilkan dipercayai untuk pasaran tempatan, khususnya di sekitar Perak dan Lembah Klang," ujarnya.

Mat Zani turut memaklumkan bahawa semakan rekod mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai kesalahan lampau berkaitan kes dadah.
Dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah Nissan Almera, sebuah Toyota Camry serta seutas jam tangan Maserati yang dianggarkan bernilai RM59,100.
"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!