Kilang dan tiga makmal diserbu, dadah hampir RM13 juta dirampas

M Kumar (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, pada Selasa.
M Kumar (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, pada Selasa.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Sindiket dadah antarabangsa yang beroperasi di kawasan berpagar dan kilang perindustrian tumpas selepas polis menyerbu tiga makmal haram dan sebuah kilang dadah dalam operasi khas di daerah ini dan Seri Alam.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, operasi yang dijalankan antara 6 hingga 11 Mac itu membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan dan dua lelaki Taiwan berusia antara 25 hingga 40 tahun.

Menurut beliau, hasil serbuan itu, polis turut merampas 42.5 kilogram serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan 182.8 kilogram syabu dengan nilai keseluruhan RM12.95 juta.

M Kumar (kanan) menunjukkan suspek-suspek yang ditahan.
M Kumar (kanan) menunjukkan suspek-suspek yang ditahan.

"Siasatan mendapati sindiket tersebut beroperasi sejak Julai tahun lalu dengan menggunakan rumah sewa berpagar sebagai makmal pemprosesan dadah, manakala sebuah kilang di kawasan perindustrian dijadikan stor penyimpanan.

"Tujuh suspek yang ditahan termasuk tiga ahli kimia tetapi tidak bertauliah. Kita masih menyiasat sumber kepakaran mereka dalam pemprosesan dadah yang dipercayai turut diedarkan ke pasaran antarabangsa," katanya.

Tambah beliau lagi, polis turut merampas pelbagai peralatan dan mesin memproses bernilai RM1.12 juta serta menyita tiga kenderaan berjumlah RM319,000, sebuah lori (RM49,800), barang kemas (RM15,822) dan tiga akaun bank (RM17,600.37).

M Kumar (depan) menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas.
M Kumar (depan) menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah keseluruhan rampasan, termasuk sitaan dianggarkan sebanyak RM14.47 juta.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Kumar turut memaklumkan bahawa semua suspek didapati negatif dadah selepas ujian saringan air kencing dilakukan dan direman sehingga 20 Mac ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!