Kelantan laksana projek rintis tangani penyalahgunaan dadah

KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Kerajaan Kelantan akan melaksanakan projek rintis bagi menangani penyalahgunaan dadah di kawasan berisiko tinggi selepas Aidilfitri.
Projek perintis ini akan bermula di Bachok, daerah yang mencatat kadar penyalahgunaan dadah tertinggi di negeri itu.
Exco Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, langkah ini diambil susulan sesi libat urus bersama lebih 30 agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian efektif terhadap masalah dadah di Kelantan.
“Secara keseluruhan tahun lepas, negeri ini berada di tempat ketiga dengan 21,338 individu terlibat selepas Selangor 25,032 dan Johor 21,366.
“Perkara ini dipandang serius, dan langkah untuk mengurangkan kes penyalahgunaan dadah di Kelantan akan dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Isu-isu Pencegahan dan Penyalahgunaan Dadah di Negeri Kelantan 2025 di sebuah hotel di Tunjong, di sini pada Ahad.
Zamakhshari yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) negeri Kelantan menjelaskan bahawa Bachok dipilih sebagai kawasan rintis kerana kadar penyalahgunaan dadah di daerah itu sangat membimbangkan.
“Dalam projek ini, semua agensi akan turun padang secara menyeluruh, termasuk Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, badan bukan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.
“Kita mahu pastikan intervensi dilakukan secara holistik,” katanya.
Tambah beliau, projek ini bukan sekadar membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah, tetapi juga memberikan fokus kepada pemulihan penagih dan pencegahan awal dalam kalangan belia.
Dalam sesi libat urus tersebut, antara resolusi utama yang dipersetujui termasuk pemerkasaan agama dan terapi kerohanian dalam program pemulihan, peruntukan khas tahunan bagi program pencegahan dadah dan penubuhan pusat intervensi badan bukan kerajaan di kawasan berisiko tinggi.
“Juga persetujui untuk meningkatkan kawalan sempadan dengan pemasangan mesin pengimbas bagi mengesan bekalan dadah yang masuk secara sah dari negara jiran.
“Selain, mewujudkan zon hijau bebas dadah sebagai model komuniti bebas dadah,” kata Zamakhshari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

