Ambil alih KB Sentral: Kerajaan Kelantan pastikan projek siap ikut jadual

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menegaskan komitmennya untuk menyiapkan projek Kompleks Perniagaan dan Terminal Bas (KB Sentral) yang tertangguh bagi memastikan rakyat negeri ini mendapat manfaat daripada kemudahan pengangkutan awam yang lebih baik.
Timbalan Exco Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Saizol Ismail berkata, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk mengambil alih sepenuhnya pembinaan dan pengurusan KB Sentral bagi memastikan projek tersebut disiapkan mengikut jadual.
Menurut beliau, projek ini sebelum ini dikendalikan oleh Perak Transit, namun kerajaan negeri melihat keperluan untuk menguruskan sendiri pembangunannya dengan penglibatan pelbagai agensi berkaitan.
“Kerajaan negeri memutuskan untuk menyiapkan sendiri projek ini dengan menggunakan dana negeri.
“Kami akan pastikan projek ini disiapkan mengikut perancangan kerana kemudahan ini amat penting bagi sistem pengangkutan awam di Kelantan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Darulnaim pada Khamis.
Beliau menjelaskan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan dan pembangunan akan memanfaatkan tenaga kerja dan jentera jabatan kerajaan negeri bagi mempercepatkan pelaksanaan.
Namun, jika diperlukan, kontraktor luar juga akan dilantik bagi memastikan kelancaran dan keberkesanan kerja-kerja teknikal.
“Dalam beberapa kes, kita gunakan tenaga kerja jabatan secara dalaman untuk mempercepatkan proses. Tetapi jika terdapat cabaran teknikal yang memerlukan kepakaran khusus, kita akan melantik kontraktor yang bersesuaian,” jelasnya.
Kerajaan negeri turut menekankan bahawa projek ini akan dipantau secara sistematik bagi mengelakkan kelewatan seperti yang berlaku sebelum ini.
“Sebelum ini, kami memberi peluang kepada beberapa pihak untuk menguruskan projek ini. Namun, setelah menilai beberapa faktor, kita mengambil keputusan untuk melaksanakannya sendiri agar dapat disiapkan dalam tempoh yang lebih segera,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menyegerakan pembinaan KB Sentral seiring dengan siapnya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang dijangka memberi impak besar kepada sistem pengangkutan di Kelantan.
Dengan tempoh operasi KB Sentral yang disasarkan menjelang 2027, kerajaan negeri kini giat memastikan pembinaan berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan infrastruktur negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

