Kes rasuah: Ismail Sabri dijangka terus dipanggil beri keterangan, pengumpulan bukti

SHAH ALAM - Beberapa dokumen masih dalam proses justifikasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum memutuskan tempoh rakaman percakapan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Difahamkan, Ahli Parlimen Bera itu dijangka terus dipanggil memberi keterangan dan pengumpulan bukti bagi melengkapkan siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram.
Menurut sumber, Perdana Menteri kesembilan itu akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada Isnin untuk direkod keterangan.
"Esok beliau akan hadir untuk kali keempat selepas menyerahkan pengisytiharan harta dan kita akan melihat sesi esok.
"Pegawai akan mengambil keterangan sehingga SPRM berpuas hati dengan mendapatkan penjelasan dan pengumpulan bukti bagi melengkapkan siasatan.
"SPRM belum memutuskan tempoh rakaman percakapan akan selesai kerana beberapa dokumen penting masih perlu melalui proses justifikasi dalam keterangannya," katanya pada Ahad.
Sumber bagaimanapun enggan mengulas sama ada Ismail Sabri akan ditahan atau sebaliknya selepas proses merekod keterangan berakhir.
Jelas sumber, setakat ini SPRM akan meneruskan rakaman percakapan Ismail Sabri terlebih dahulu.
Pada 3 Mac, Azam dilaporkan berkata, Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah 'safe house' susulan serbuan dilakukan pihaknya.
SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Difahamkan, SPRM juga telah merekodkan keterangan 36 saksi bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
