'Saya akan terus beri kerjasama sehingga siasatan selesai' - Ismail Sabri

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa beliau akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya sehingga siasatan selesai.
“Hari ini saya telah hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberikan keterangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ahli Parlimen Bera itu meninggalkan Ibu Pejabat SPRM pada jam 3.13 petang selepas kira-kira lima jam memberi keterangan dan disoal siasat oleh pegawai penyiasat suruhanjaya berkenaan.
Menurut sumber, beliau dijangka hadir semula ke SPRM Putrajaya pada Jumaat bagi meneruskan rakaman percakapan.
Terdahulu, Ismail Sabri tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 9.46 pagi dengan menaiki kenderaan jenis Audi berwarna hitam, diiringi kenderaan peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau turut sempat melemparkan senyuman dan melambaikan tangan kepada pengamal media yang menunggu di pintu masuk SPRM sejak jam 8 pagi.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan sijil cuti sakit Ismail Sabri berakhir pada Rabu, dan beliau diminta hadir bagi memberi keterangan susulan siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya.
Ismail Sabri kini disiasat di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
SPRM sebelum ini juga telah merekodkan keterangan daripada 36 saksi bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
