Covid-19 dalam politik

A
A
A

SEPERTI koronavirus (Covid-19) mewabak dengan mengejut di China, percubaan perubahan kerajaan di Malaysia juga berlaku secara mendadak sehingga rakyat terperangkap dan ramai yang terpinga-pinga untuk memahami apa yang berlaku.

Bila Covid-19 melanda, kerajaan China tidak sempat membuat persiapan. Bila kerajaan yang sedia ada mahu dijatuhkan secara mendadak, rakyat tidak disiapkan kerana yang didambakan ialah kehidupan yang lebih terjamin bukan mengulangi pilihan raya umum yang tidak menjamin menyelesaikan masalah hidup rakyat yang tersepit.

Demikian pakatan sulit dan kini terbuka melanda politik Malaysia yang merebakkan virus kesangsian kepada sebuah kerajaan yang dipilih rakyat.

Episod pakatan antara parti untuk berpolitik berdasarkan bilangan kerusi di Parlimen dicatur. Seperti tindakan membendung Covid-19, gerakan politik untuk membendung sokongan wakil rakyat agar tidak terlepas daripada bilangan kerusi yang dijangka boleh menjatuhkan kerajaan juga diolah.

Kini negara berkocak sehingga spekulasi menjadi semakin liar. Semua media sosial menggila dengan berita palsu dan separuh benar.

Politik teka-teki dan politik tawar- menawar berlegar di kalangan ahli Parlimen. Ada yang tetap setia, ada yang berpaling tadah. Bagaikan drama yang mencapai babak klimaks, seluruh tenaga berlegar di sekitar anggota parti untuk menentukan nasib kerajaan yang dipilih rakyat.

Malangnya para konspirator politik mengerah otak mencipta politik sensasi yang mudah ditafsir mengikut selera para netizen dan rakyat bawahan. Tidak dipeduli perasaan rakyat yang lelah dengan politiking yang berlebihan sehingga nasib rakyat diperjudikan.

Malangnya Covid-19 dalam politik ini sedang menjejaskan kesihatan ekonomi negara. Indikator ekonomi sudah memberi isyarat dan amaran. Jika ketidaktentuan politik berterusan, negara bakal berdepan ekonomi yang tenat.

Artikel Berkaitan:

Malangnya penyebar virus politik ini adalah ahli politik yang nampaknya lebih mementingkan kedudukan masing-masing dan bukannya agenda reformasi yang kononnya diperjuangkan.

Jika kuarantin pesakit Covid-19 menjadi kaedah untuk mengekang merebak virus ini, mungkinkah ahli politik yang hanya memikirkan kepentingan diri dan jawatan ini boleh dikuarantinkan dari medan politik?

Hak rakyat

Politik perpecahan dan politik matlamat menghalalkan cara adalah virus politik yang berbahaya yang kini sedang mewabak. Virus ini diabsahkan oleh parti politik kemudian diperakui oleh pemimpin politik.

Rakyat diheret untuk berpolemik. Padahal politik bukan hanya milik orang politik. Ia adalah juga milik rakyat. Rakyat yang menentukan wakil rakyat dan kerajaan yang ditubuhkan. Inilah yang digelar kuasa dan mandat rakyat. Rakyat telah membuat pilihan. Sepatutnya pilihan rakyat dihormati.

Tidak dinafikan status ekonomi dan sosial di negara ini punya masalah. Kos sara hidup, ekonomi rakyat B40, import makanan yang tinggi dan nilai ringgit yang rendah adalah antaranya.

Sepatutnya semua masalah ini dapat dihadapi secara tenang tanpa mengheret negara dan rakyat kepada pergolakan dan ketidaktentuan politik.

Kita menghormati hak wakil rakyat untuk membuat keputusan berdasarkan kehendak parti akan tetapi sepatutnya hormatilah hak rakyat untuk tidak diperbodohkan dengan menghabiskan ratusan juta ringgit untuk sekali lagi dibubar Parlimen dan pilihan raya diadakan semula.

Ketika Covid-19 ditakuti oleh semua negara, virus politik fitnah dan saling menjatuhkan juga perlu ditakuti. Covid-19 berjangkit dengan sentuhan namun virus politik merebak melalui persepsi dan naratif masing-masing.

Cukuplah rakyat terhimpit dengan kos sara hidup dan pelbagai isu kebajikan yang perlu pembelaan. Jangan diheret rakyat hanya kerana mahu merebut kuasa untuk memenangkan satu-satu pihak yang hanya bercita-cita politik penting diri.

Yang sangat diperlukan sekarang bukanlah untuk menentukan antara wakil rakyat, siapa yang menyokong siapa, akan tetapi yang dimahu oleh rakyat kepada mereka yang telah ditempatkan di Parlimen agar melaksanakan amanah rakyat sebaik mungkin.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu