RM1.1 bilion bukan beri percuma, Sapura Energy kena bayar balik pinjaman

Azman (kanan) ketika program Interviu bertajuk 'Kerajaan Perlu Buktikan RUU PSB Tidak Jejaskan Rakyat' di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis.
Azman (kanan) ketika program Interviu bertajuk 'Kerajaan Perlu Buktikan RUU PSB Tidak Jejaskan Rakyat' di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaburan sebanyak RM1.1 bilion oleh Malaysia Development Holdings Sdn Bhd (MDH) dalam Sapura Energy Berhad (SEB) bukan 'bailout' atau erti kata lain pemberian dana percuma, sebaliknya pinjaman bagi meneruskan operasi, membayar pekerja serta vendor tempatan.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, SEB perlu membayar semula amaun berkenaan sama ada dalam bentuk pinjaman bersyarat dan lain-lain.

Menurut beliau, tindakan Kerajaan Madani berbuat demikian tidak bercanggah sepertimana yang didakwa oleh pembangkang.

"Kerajaan dahulu nak 'bailout' maksudnya Permodalan Nasional Berhad (PNB) suntik dana kepada SEB. Keadaan ketika itu berbeza dengan sekarang kerana mereka nak beri percuma, tetapi kami beri pinjaman.

"Pelaburan ini sebagai usaha penstrukturan semula kewangan dan teruskan komitmen dalam bisnes minyak dan gas (O&G) kerana kita semua tahu SEB bukan sahaja mempunyai ribuan pekerja bumiputera, malah vendor-vendor yang menjalankan perniagaan bersama.

"Kalau Kerajaan Madani tidak bantu, SEB akan berdepan masalah dan bentuk pertolongan yang kita beri hanya pinjaman, syarikat tersebut kena bayar balik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Interviu bertajuk 'Kerajaan Perlu Buktikan RUU PSB Tidak Jejaskan Rakyat' yang dihoskan oleh Haizir Othman secara langsung di platform digital Sinar Harian di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Khamis.

Pada Selasa lepas, SEB dilapor memperoleh pelaburan RM1.1 bilion menerusi langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal oleh MDH.

Artikel Berkaitan:

SEB menjelaskan, pihaknya telah memeterai perjanjian pembiayaan bersyarat dengan MDH selaku syarikat tujuan khas Menteri Kewangan (Diperbadankan) bagi mengukuhkan komitmen syarikat terhadap kemampanan jangka masa panjang.

Bagaimanapun, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan ia bukan satu bentuk ‘bailout’ bagi menyelamatkan syarikat berkenaan, sebaliknya pelaburan strategik.

PNB selaku pemegang saham utama SEB sedia ada memaklumkan, pembiayaan tersebut penting untuk kelangsungan kewangan syarikat berkenaan memandangkan ia mempunyai lebih 2,000 vendor dan kebanyakannya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menggaji kira-kira 59,000 pekerja.

Tambah PNB lagi, pelaburan MDH hanya akan dilaksanakan selepas pemiutang institusi kewangan SEB bersetuju dengan potongan berkesan ketara dan potongan tidak langsung akibat kehilangan nilai daripada penukaran hutang kepada saham pada premium yang tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!