Suntikan dana tidak manfaatkan pemegang saham, pengurusan Sapura Energy

PUTRAJAYA - Suntikan modal baharu yang diberikan kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd (SEB) tidak sama sekali manfaatkan pemegang saham atau pengurusan SEB, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata dalam usaha penstrukturan semula SEB, pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terlibat dalam pengurusan syarikat tersebut.
Pengurusan baharu profesional telah dilantik bagi melaksanakan proses penstrukturan semula syarikat itu, kata beliau.
"Suntikan modal baharu yang diberikan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.1 bilion kepada SEB adalah khusus untuk pembayaran hutang SEB dengan vendor iaitu melibatkan 2,000 vendor PKS (perusahaan kecil dan sederhana) minyak dan gas tempatan yang majoritinya syarikat bumiputera.
"Suntikan modal ini adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula SEB dan ia adalah untuk membantu dan menyelamatkan pekerja tempatan yang telah sekian lama tidak menerima bayaran bagi perkhidmatan mereka. Ia juga penting untuk menyelamatkan ekosistem industri minyak dan gas tempatan,” kata beliau dalam kenyataan di sini, pada Khamis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!