Suntikan RM1.1 bilion bagi tujuan bayar hutang Sapura Energy kepada vendor - PM

Anwar Foto Bernama
Anwar Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan memberi suntikan modal baharu berjumlah RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) bagi membayar hutang syarikat itu kepada vendor, terutamanya 2,000 vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) minyak serta gas tempatan yang majoritinya syarikat bumiputera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, suntikan modal tersebut adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula SEB dan bertujuan menyelamatkan pekerja tempatan yang telah lama tidak menerima bayaran bagi perkhidmatan mereka.

Menurut beliau, langkah itu juga penting untuk menyelamatkan ekosistem industri minyak dan gas tempatan.

“Amat penting untuk ditegaskan bahawa suntikan modal ini juga tidak sama sekali memanfaatkan pemegang saham atau pengurusan SEB.

“Dalam penstrukturan semula SEB, pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terlibat dalam pengurusan SEB. Pengurusan baharu profesional telah dilantik untuk melaksanakan penstrukturan semula SEB,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Anwar mengakui, beliau tidak senang dengan keputusan kerajaan untuk menyelamatkan syarikat besar tatkala puluhan ribu syarikat kecil sedang 'terlantar.'

Bagaimanapun beliau menjelaskan, suntikan RM1.1 bilion kepada SEB merupakan suatu pinjaman yang perlu dibayar balik.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa proses audit telah dilaksanakan dan ketekunan wajar atau ‘due diligence’ tambahan akan dijalankan sebagai prasyarat sebelum penstrukturan serta suntikan modal dimuktamadkan.

Artikel Berkaitan:

“Selanjutnya, dapatan due diligence ini akan dikongsikan kepada agensi penguatkuasaan berkenaan seperti Suruhanjaya Sekuriti sama ada tindakan diambil ke atas mana-mana pihak.

“Kerajaan Madani tetap mengutamakan ketelusan dan amalan tatakelola baik dalam pengurusan. Penstrukturan semula SEB telahpun melalui kelulusan pemiutang serta proses mahkamah,” ujarnya.

Kata beliau, suntikan kerajaan bukannya geran tetapi merupakan pelaburan ke arah memulihkan ekosistem minyak dan gas (O&G) yang strategik untuk ekonomi negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!