'Saya akan guna duit ini untuk tunai umrah atas nama arwah anak'

Simbolik penyerahan wang pampasan perlindungan takaful oleh Syaiful Rizal (dua dari kiri) kepada Noor Azizah (dua dari kanan).
Simbolik penyerahan wang pampasan perlindungan takaful oleh Syaiful Rizal (dua dari kiri) kepada Noor Azizah (dua dari kanan).
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang ibu berhasrat menggunakan wang pampasan perlindungan takaful yang diterima untuk menunaikan umrah bagi arwah anaknya yang meninggal dunia tahun lalu akibat komplikasi pernafasan.

Suri rumah, Noor Azizah Abdul Talib, 55, berkata, wang pampasan pelajar tajaan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) di bawah Yayasan Bank Rakyat (YBR) berjumlah RM31,985 itu bukan sahaja dapat membantu keperluan keluarganya, tetapi juga merealisasikan impiannya untuk menghadiahkan ibadah umrah buat Allahyarham Nazuratul Auni Ibrahim, 24.

“Sebahagian daripada wang ini saya bercadang untuk menunaikan umrah atas nama arwah sebagai ‘hadiah’ untuknya.

“Selebihnya, saya akan gunakan untuk menjelaskan kos rawatan arwah sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Noor Azizah, pemergian arwah meninggalkan seorang anak perempuan berusia dua tahun yang kini berada dalam jagaan besannya di Terengganu.

“Anak arwah berada dalam keadaan sihat, Alhamdulillah,” katanya yang tinggal di Taman Merbau Utama, Selising, di sini.

Nazuratul Auni ialah pelajar tajaan pada 2017 dan juga bekas graduan Universiti Malaya dalam bidang Sarjana Muda Usuluddin (Akidah dan Pemikiran Islam) yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.49.

Dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada 6 Ogos tahun lalu selepas mengalami masalah pernafasan yang serius.

Pada mulanya, dia hanya mengalami demam dan batuk biasa, tetapi keadaannya semakin teruk sebelum dikejarkan ke Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM dan dimasukkan ke ICU kerana keadaan paru-parunya sangat lemah.

Artikel Berkaitan:

Pihak hospital memaklumkan arwah mengalami Severe Pneumonia dalam Severe Acute Respiratory Distress Syndrome, menyebabkan oksigen dalam darahnya menurun dengan cepat.

Selama hampir tiga minggu, arwah bertarung nyawa di ICU dengan bantuan mesin pernafasan dan pada 24 Ogos tahun lepas, sekitar jam 12.03 pagi, doktor mengesahkan anak kelima daripada 11 beradik itu telah meninggal dunia akibat komplikasi pernafasan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, pampasan yang diberikan adalah hasil perlindungan takaful yang dikenakan ke atas semua pelajar tajaan PPBU YBR.

“Pampasan ini bukan sahaja meringankan beban keluarga tetapi juga menunjukkan bahawa aspek perlindungan kewangan amat penting bagi pelajar yang ditaja.

“Diharapkan dengan bantuan ini, keluarga Allahyarham dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan masa depan anaknya lebih terjamin,” katanya.

Penyerahan pampasan ini turut dihadiri Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Sehingga kini, seramai 7,468 pelajar menerima pembiayaan pendidikan YBR dengan jumlah keseluruhan RM212 juta, membuktikan komitmen yayasan dalam membantu pelajar mencapai kecemerlangan akademik dan kebajikan mereka terjaga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!