Tumpu 11 projek keselamatan jalan sempena Aidilfitri

KOTA BHARU - Sebanyak 11 projek menaik taraf infrasturktur keselamatan jalan raya termasuk penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat di lokasi utama melibatkan laluan masuk ke negeri Kelantan diberi keutamaan bagi memastikan perjalanan pengguna lebih selamat menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.
Timbalan Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail berkata, kerja-kerja penyelenggaraan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) itu membabitkan laluan yang menjadi tumpuan perantau pulang ke Kelantan.
“Daripada 69 projek yang disenaraikan untuk siri pertama tahun ini, sebanyak 11 daripadanya akan diberi tumpuan segera sebelum Aidilfitri.
“Projek ini merangkumi kerja-kerja penyelenggaraan berkala lampu jalan dan lampu isyarat di beberapa laluan penting termasuk Jalan Persekutuan FT008 dari Kota Bharu ke Machang serta laluan FT008 dari Kuala Krai ke Gua Musang hingga ke Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Cabutan Kerja Undi Mega JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis.
Menurutnya, kerja penyelenggaraan itu penting bagi memastikan sistem pencahayaan jalan berada dalam keadaan baik sekali gus mengurangkan risiko kemalangan terutama di kawasan yang kerap berlaku insiden akibat jalan gelap.
Kata beliau, selain penyelenggaraan lampu jalan dan isyarat, sebanyak empat lagi projek penyelenggaraan elektrik turut dilaksanakan membabitkan kerja-kerja baik pulih sekolah yang terjejas banjir serta pendawaian semula kantin di Kompleks Kota Darulnaim.
“Berdasarkan cabutan kerja undi yang dijalankan, seramai 69 kontraktor dilantik bagi melaksanakan projek-projek bilangan pertama manakala 31 kontraktor lain diletakkan dalam senarai simpanan.
“Kita juga menetapkan supaya kerja-kerja ini dimulakan segera selepas Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan kelancaran projek, selain beberapa kerja yang perlu disiapkan sebelum perayaan bagi persiapan menyambut kepulangan perantau,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Elektrik Ibu Pejabat JKR, Ir Ismail Hashim berkata, 69 projek berkenaan melibatkan peruntukan keseluruhan bernilai lebih RM6.5 juta.
“Seramai 185 kontraktor elektrik di seluruh negeri Kelantan yang mendaftarkan diri untuk cabutan kerja undi ini namun enam terpaksa ditolak kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan seperti lesen kontraktor tamat tempoh dan tiada pengkhususan bidang kerja.
“Anggaran satu-satu projek elektrik yang disenaraikan itu ada bernilai RM50,000, RM85,000, RM100,000 dan paling tinggi RM200,000,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

