JPN tumpaskan sindiket pemalsuan dokumen sijil kelahiran

Saifuddin (tengah) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Awang Alik Jeman (kanan) dan Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias di sidang akhbar khas di sini pada Khamis.
Saifuddin (tengah) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Awang Alik Jeman (kanan) dan Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias di sidang akhbar khas di sini pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen sijil kelahiran dalam Ops Tumpang yang dijalankan serentak di empat negeri pada Selasa lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, modus operandi sindiket melibatkan individu yang bertindak sebagai pemaklum kelahiran dengan mengemukakan dokumen kelahiran palsu di kaunter JPN semasa pendaftaran.

Menurutnya, setelah sijil kelahiran sah diperoleh, ia dipercayai dijual di pasaran gelap kepada ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak tidak memiliki pengenalan diri serta kewarganegaraan Malaysia.

"Sindiket ini juga dipercayai mempunyai rangkaian dalam dan luar negara serta berkemungkinan besar terlibat dalam penyeludupan kanak-kanak dari luar negara yang tidak mempunyai dokumen diri dan dijual kepada ibu bapa berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar khas di Ibu Pejabat JPN, di sini pada Khamis.

Ujar Saifuddin, sindiket berkenaan ditumpaskan dalam Ops Tumpang yang dijalankan serentak di beberapa lokasi di empat negeri.

"Operasi ini merupakan hasil risikan bersama pihak JPN dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama hampir setahun serta perancangan rapi bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat diambil secara menyeluruh terhadap individu dan pihak terlibat dalam kegiatan jenayah ini," kata beliau.

Jelasnya, dalam Ops Tumpang yang dijalankan tersebut, 10 orang warga tempatan terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita diberkas.

Artikel Berkaitan:

"Empat daripada mereka termasuk seorang peguam disyaki bertindak sebagai orang tengah di antara ejen dan pemohon sekali gus menjadi dalang utama sindiket pemalsuan dokumen ini.

"Enam lagi dikenal pasti sebagai pemaklum kelahiran," katanya.

Tambah beliau, operasi dijalankan di Putrajaya, Selangor, Perak dan Pulau Pinang turut membawa kepada rampasan wang tunai RM54,000 dipercayai hasil daripada aktiviti haram berkenaan.

"Setakat ini, kami mengesan 80 sijil kelahiran telah dikeluarkan kepada sindiket ini menggunakan dokumen palsu dan JPN tidak menolak kemungkinan ada tangkapan baharu," katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, sindiket berkenaan dipercayai mempunyai rangkaian dalam dan luar negara.

"Kemungkinan besar mereka juga terlibat dalam penyeludupan kanak-kanak dari luar negara yang tidak mempunyai dokumen diri dan dijual kepada ibu bapa berkenaan," jelas beliau.

Katanya, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 36(1)(b), Akta Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) kerana disyaki mengemukakan maklumat palsu semasa pendaftaran kelahiran.

Jika sabit kesalahan mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Kes sama dijangka disiasat dibawah perundangan lain di bawah bidang kuasa SPRM.

SPRM dilapor menahan 16 individu termasuk seorang 'Datuk Seri' kerana disyaki terbabit rasuah pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warga negara kepada warga negara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.

Kesemua suspek berusia di antara 20-an hingga 70-an ditahan dalam beberapa serbuan menerusi Op Outlander dan Op Birth ke atas beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor, semalam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!