Rasuah sijil kelahiran: Pengamal undang-undang terlibat sebagai pemproses dokumen

KUALA LUMPUR - Tugas pengamal undang-undang yang ditahan berkaitan sindiket pendaftaran lewat kelahiran adalah sebagai individu yang memproses dokumen.
Menurut sumber, kumpulan profesional itu digunakan bagi tujuan permohonan sijil kelahiran, sebaik sahaja anggota sindiket menerima wang daripada pemohon.
Sumber berkata, proses tersebut bermula dengan pemohon membayar sejumlah wang dengan kadar yang ditetapkan.
"Selepas itu, barulah bermula tugas pengamal undang-undang terbabit untuk mula menguruskan dokumen diperlukan bagi permohonan sijil kelahiran bayi," katanya pada Jumaat.
Sumber itu berkata, kegiatan tersebut terbongkar selepas SPRM merampas tujuh surat kelahiran dan satu kad rawatan bayi dalam serbuan yang dilakukan baru-baru ini.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada pembekuan akaun bank dilakukan oleh SPRM susulan serbuan tersebut.
Namun, sejumlah wang tunai berjumlah RM49,000 yang dipercayai sebagai balasan rasuah berjaya ditemukan dalam operasi berkenaan.
Ketika ditanya mengenai sebarang tangkapan baharu, sumber itu mengesahkan bahawa setakat ini tiada individu lain yang ditahan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri antara 16 individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bukan warganegara kepada warganegara serta penggunaan dokumen sokongan palsu.
SPRM melancarkan Op Outlander dan Op Birth pada Rabu dengan menyerbu beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman di sekitar Lembah Klang dan Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
