[VIDEO] Sapura Energy: Anwar jelaskan suntikan dana RM1.1 bilion merupakan pinjaman
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri mengakui beliau tidak senang dengan keputusan kerajaan untuk menyelamatkan syarikat besar tatkala puluhan ribu syarikat kecil sedang 'terlantar.'
Bagaimanapun Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, suntikan RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Sdn Bhd (Sapura Energy) merupakan suatu pinjaman yang perlu dibayar balik.
"Apakah dana ini hangus? Tidak. Ia dijadikan modal supaya pengurusan baharu dapat mengurus dengan baik dan membayar semula RM1.1 bilion," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MoF) di sini pada Khamis.

Tegas beliau, langkah tersebut dibuat secara telus dan mengikut peraturan selepas audit forensik dilaksanakan.
"Saya antara yang paling keras menentang ‘bail out’. Pengalaman saya sekitar tahun 1997 dan 1998 mengajar bahawa kita tidak boleh menyelamatkan syarikat yang gagal tanpa syarat ketat.
“Sebab itu kita melantik Ernst & Young untuk menjalankan audit forensik bagi memastikan ketelusan sebelum membuat keputusan ini,” kata Anwar.
Jelasnya, dana itu disalurkan bertujuan untuk memastikan pembayaran dapat dilakukan kepada 2,000 vendor yang telah menjalankan kerja bagi syarikat minyak dan gas tersebut, bukan untuk menyelamatkan individu atau pihak pengurusan syarikat berkenaan.
"Saya tidak bantu menyelamatkan tauke kaya (kerana) setiap sen wang itu terus kepada vendor yang telah bekerja tetapi tiada bayaran," katanya.
Tambah beliau, Sapura Energy tidak boleh dibiarkan bankrap kerana ia merupakan satu-satunya syarikat minyak dan gas yang mempunyai vendor Bumiputera.
"Jika ia ditutup, maknanya tiada lagi syarikat tempatan yang mampu mengendalikan kerja-kerja peringkat hiliran berkaitan minyak dan gas di Malaysia dan akhirnya, semua kontrak akan jatuh ke tangan syarikat asing,” katanya.
Sapura Energy menerusi pemfailan Bursa pada Selasa mengumumkan telah menerima RM1.1 bilion sebagai pelaburan daripada syarikat tujuan khas di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).
Pelaburan itu akan digunakan secara eksklusif untuk membayar hutang syarikat minyak dan gas itu kepada 2,000 vendornya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

