PNB jelaskan pelaburan MDH dalam Sapura Energy bukan 'bailout'
SHAH ALAM - Permodalan Nasional Berhad (PNB) menjelaskan bahawa pelaburan Malaysia Development Holdings Sdn Bhd (MDH) dalam Sapura Energy Berhad (SEB) bukan 'bailout' sepertimana dikatakan.
PNB berkata, ia kerana dana sebanyak RM1.1 bilion itu digunakan secara eksklusif untuk membayar pembekal tempatan tanpa memberi manfaat kepada mana-mana pemegang saham SEB mahupun pemiutang kewangan sedia ada.
Menurutnya selaku pemegang saham utama SEB sedia ada, pembiayaan tersebut penting untuk kelangsungan kewangan syarikat berkenaan memandangkan ia mempunyai lebih 2,000 vendor dan kebanyakannya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menggaji kira-kira 59,000 pekerja.
“Pelaburan ini bukan 'bailout' kerana ia menyokong perniagaan tempatan dan mengekalkan integriti rantaian bekalan. Memelihara SEB serta ekosistem O&G penting untuk kestabilan serta kemajuan keseluruhan rantaian nilainya.
“Tanpa SEB dan vendor tempatan, kerja tersebut perlu disumberluarkan kepada penyedia asing hingga mengakibatkan pembayaran mengalir keluar dari Malaysia. Pelaburan ini akan memastikan ekosistem O&G terus dilakukan oleh rakyat tempatan, memberi manfaat kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) sebanyak RM1.1 bilion serta beri kesan positif kepada kadar pertukaran mata wang Malaysia.
“Selain itu, pelaburan ini penting dalam urusan memudahkan penyelesaian penstrukturan hutang terbesar di Malaysia melibatkan beberapa bank. Ia membantu mengelakkan pembubaran SEB yang akan mengakibatkan penjualan aset O&G strategik negara secara lelongan, dalam dan luar negara,“ katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan SEB peroleh pelaburan RM1.1 bilion langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal daripada MDH iaitu syarikat tujuan khas Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Bagaimanapun, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan ia bukan satu bentuk ‘bailout’ bagi menyelamatkan syarikat berkenaan, sebaliknya pelaburan strategik.
Mengulas lanjut, PNB memaklumkan, pelaburan oleh MDH hanya akan dilaksanakan selepas pemiutang institusi kewangan SEB bersetuju dengan potongan berkesan ketara dan potongan tidak langsung akibat kehilangan nilai daripada penukaran hutang kepada saham pada premium yang tinggi.
Tambahnya, pemegang saham SEB sedia ada akan mengalami pencairan yang ketara daripada penukaran saham di bawah Skim Penstrukturan Hutang.
Jelas PNB lagi, SEB telah menjalankan proses undang-undang, kewangan komprehensif dan semakan perniagaan oleh pakar bebas termasuk kawalan serta pengurusan risiko yang menyeluruh.
“Ia sama seperti apa yang negara lain lakukan contohnya pelaburan kerajaan Singapura dalam penstrukturan semula Sembcorp melalui Temasek serta pelaburan Korea Selatan dalam penstrukturan semula Daewoo Shipbuilding.
“Pelaburan dalam SEB RCLS menjana pembayaran keuntungan tetap kepada MDH dan boleh ditebus dengan opsyen untuk menikmati kenaikan melalui penukaran kepada saham sekiranya harga saham SEB meningkat pada masa hadapan.
“MDH bakal membuka jalan penyelesaian agar SEB dapat semula kedudukan kewangan yang kukuh. PNB yakin pengurusan baharu SEB akan terus melaksanakan perniagaan sedia ada sambil menumpukan daya tahan operasi untuk jangka masa panjang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

